SHAZANA (dua dari kiri) bersama sebahagian pekerjanya.
SHAZANA (dua dari kiri) bersama sebahagian pekerjanya.
Suliati Asri

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu memberi tamparan hebat kepada peniaga dan majikan yang terpaksa menanggung kerugian disebabkan penutupan operasi perniagaan.

Penutupan disebabkan penularan wabak Covid-19 itu juga memaksa sesetengah majikan memotong gaji, memberi cuti tanpa gaji dan memberhentikan pekerja kerana tidak mampu menampung kos operasi yang tinggi.

Bagaimanapun, Program Subsidi Upah (PSU) diumumkan kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) menjadi 'pembakar semangat' buat peniaga untuk terus bertahan sekali gus menyelamatkan pekerja dari diberhentikan.

Pengusaha produk minuman, Shazana Mustafa berkata, pelaksanaan PKP memberi tamparan hebat buatnya yang ketika itu baru lima bulan memulakan perniagaan.

Katanya, bantuan diberikan kerajaan itu juga ibarat 'senjata' buatnya untuk terus berjuang dalam perniagaan.

"Walaupun kos operasi ketika itu tinggi, saya tidak mahu mengambil keputusan memotong gaji atau memberhentikan pekerja kerana mereka baru bekerja.

"Jadi, dengan bantuan PSU menerusi KitaPrihatin ini, ia dapat membantu saya dan juga majikan lain untuk membayar gaji pekerja seterusnya membolehkan kami meneruskan perniagaan," katanya.

Mula beroperasi pada November 2019, Shazana mampu menggaji empat lagi pekerja dengan adanya bantuan dihulurkan kerajaan.

Sebagai peniaga, beliau perlu merebut peluang dengan memohon mana-mana bantuan diberikan kerajaan.

"Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, banyak bantuan disalurkan kerajaan dan antaranya adalah PSU menerusi KitaPrihatin ini.

"Oleh itu, dengan adanya bantuan diperuntukkan, sebagai majikan dan pemilik perniagaan kita perlu memanfaatkan peluang yang ada sekali gus membolehkan perniagaan terus beroperasi.

"Selain itu, kita juga dapat mengekalkan pekerja yang juga adalah tulang belakang perniagaan yang dijalankan selain membantu syarikat sendiri untuk terus berkembang," katanya.

Dengan ekonomi yang tidak menentu disebabkan Covid-19 ini, Shazana akui ramai peniaga yang terkesan sama sepertinya.

Sementara itu, bagi Wan Nurulmuna Mohd Nassarudin, bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) diterima membolehkan beliau membeli peralatan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tinggi.

Beliau kini mengusahakan perniagaan makanan secara sambilan dan dibantu kakaknya, Wan Nurul Huda.

Menurutnya, disebabkan orang ramai tidak boleh keluar tanpa urusan penting, permintaan terhadap produk makanan meningkat.

"Dengan permintaan tinggi, kos bahan basah juga meningkat. Ditambah dengan kapasiti peralatan terhad, saya tidak mampu memenuhi tempahan.

"Pemberian GKP menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), ia benar membantu dalam perniagaan kecil-kecilan yang saya usahakan ini.

"Dengan pemberian GKP itu, saya dapat membeli kelengkapan peralatan seperti ketuhar dan pengadun elektrik yang lebih besar untuk memenuhi semua permintaan pelanggan," katanya yang menawarkan pelbagai hidangan pencuci mulut dan menu makanan barat secara dalam talian.

Menurutnya, GKP diberikan kerajaan itu nyata membantu peniaga yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Oleh itu, kata Wan Nurulmuna dia menyarankan peniaga memohon bantuan itu.

"Sebagai penerima bantuan GKP, saya sudah mendapat manfaatnya sekali gus dapat mengembangkan perniagaan dengan menawarkan lebih banyak menu kepada pelanggan.

"Justeru, bagi peniaga terutama pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, jangan lepaskan peluang memohon GKP yang kini dibuka semula," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 1:07 PM