Murni Wan Omar; Hayati Ibrahim; Sri Ayu Kartika Amri; Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju Program Subsidi Upah 4.0 (PSU 4.0) dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama empat bulan.

Menurutnya, PSU 4.0 akan diberikan untuk dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti.

"Dalam program ini, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan dan ini bermakna majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih RM4,000.

"Sejak PSU diperkenalkan kerajaan membelanjakan lebih RM15 bilion bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja," katanya.

Beliau berkata, pengecualian levi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bagi tempoh dua bulan secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa PKP.

Katanya, majikan daripada sektor yang baharu merangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan perlanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember ini dengan nilai sebanyak RM425 juta.

"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, lebih 243,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan di bawah Majlis Pekerjaan Negara (NEC).

"Kerajaan akan mencipta peluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan pemain industri," katanya.

Muhyiddin berkata, menerusi program PenjanaKerjaya, kerajaan menyediakan insentif kewangan kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan baharu.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak RM170 juta disalurkan dan memanfaatkan lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja.

"Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program ini dan dijenamakan sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan.

"Antara penambahbaikan yang dibuat adalah mengurangkan had kelayakan gaji daripada RM1,500 kepada RM1,200 untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan.

"Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada enam bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan orang kurang upaya (OKU) dan bekas banduan," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 7:11 PM