Gambar hiasan
Gambar hiasan

Sri Ayu Kartika Amri

[email protected]

Kuala Lumpur: Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP), Program Subsidi Upah (PSU), pengecualian cukai, sokongan pendigitalisasi dan moratorium dilihat bukan sahaja boleh membantu aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini, malah dapat memulih serta meningkatkan hasil jualan mereka.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zariyawati Mohd Ashhari berkata, secara keseluruhannya, bantuan kepada PKS dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) lebih menyeluruh dengan beberapa penambahbaikan yang dibuat berupaya mengurangkan kos serta beban PKS.

"Apabila kerajaan mengumumkan Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara, secara puratanya memberi kesan kepada PKS, terutama yang masih dalam proses pemulihan perniagaan akibat pandemik Covid-19 serta perintah kawalan terdahulu.

"Jualan serta keuntungan perniagaan terjejas dan PKS cuba bertahan walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi. Daya tahan ini tidak lama sekiranya modal kerja atau aliran tunai syarikat tidak banyak.

"Justeru, bantuan kerajaan kepada PKS memang sangat dinantikan dan PKS lega apabila pakej Pemulih diumumkan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, GKP yang masih diteruskan dalam pakej itu boleh mengurangkan kos PKS kategori mikro yang beroperasi kurang daripada lima pekerja atau jualan tahunan sekitar RM300,000.

Dr Zariyawati berkata, peruntukan kerajaan sebanyak RM200 juta bagi Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawa Kecil (Pupuk) mengurangkan kesan kejatuhan jualan PKS mikro, selain, penyediaan pelbagai platform digital kepada peniaga seperti peniaga pasar tani, peniaga bazar dan pengusaha kraf dapat membantu pemasaran produk PKS mikro.

"Dengan peralihan kepada perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai akan dapat memperluaskan lagi pasaran dan akses peniaga kepada lebih ramai pelanggan, terutamanya usahawan luar bandar.

"Pakej bantuan digitalisasi ini bukan hanya menyokong PKS mikro tetapi juga PKS lain dengan peruntukan RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant," katanya.

Selain itu, katanya, PKS juga lega apabila pengecualian automatik diberi kepada PKS yang tidak dapat beroperasi semasa PKP daripada membayar levi HRD Corp untuk tempoh dua bulan, berikutan menyumbang pengurangan kos operasi serta boleh menambahkan aliran tunai syarikat.

Beliau memberitahu, terdapat majikan yang berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengecualian cukai ini bukan hanya sekadar dua bulan tetapi enam bulan atau lebih, kerana impak mereka hadapi bukan hanya ketika penutupan operasi dalam tempoh PKP sahaja.

"Bagaimanapun, diharapkan kerajaan terus prihatin terhadap PKS untuk memastikan mereka terus kekal dan meningkatkan prestasi supaya dapat menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 9:36 PM