BERNAMA

Gerik: Tegas, tapi penyayang. Itulah sikap Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Raub, Pahang semalam.

Anak sulung kepada Ahli Parlimen Gerik itu, Mohd Haris Helmi, 34, berkata selain kelihatan garang, arwah ayahnya juga sebenarnya seorang yang kurang bercakap.

"Ayah saya jenis yang tidak banyak bercakap, tapi dia sangat mengambil berat tentang keluarga, orang ramai. Dalam kumpulan WhatsApp keluarga pun beliau tidak banyak interaksi kecuali kalau benda penting.

"Sikapnya itu memang ramai yang tahu, lebih-lebih lagi penduduk Gerik, tapi dalam masa sama kalau sesiapa ada masalah memang arwah ayah akan usaha untuk tolong," katanya ketika ditemui pemberita di rumah Allahyarham di Kampung Ulu Kenderong di sini hari ini.

Hasbullah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik meninggal dunia kira-kira 7 malam tadi di Hospital Raub, meninggalkan dua balu iaitu Datin Rosmawati Ariffin, 58, dan Zaini Abu Bakar, 29, serta lapan anak berumur antara dua bulan dan 34 tahun.

Mohd Haris yang berniaga sendiri di sini, berkata beliau pada mulanya tidak percaya kejadian yang menimpa ayahnya semalam apabila menerima banyak mesej menerusi aplikasi WhatsApp kerana sepanjang pengetahuannya arwah tidak mempunyai sejarah masalah jantung.

"Sehinggalah beberapa orang terdekat maklumkan dah sahkan ayah telah tiada barulah saya percaya. Setahu saya ayah cuma ada masalah darah tinggi, tak tahu macam mana kena serangan jantung, mungkin terlalu penat," katanya.

Sementara itu, adik Allahyarham, Zubaidah, 52, turut mengakui arwah abangnya seorang yang tegas dan kurang bercakap tetapi penyayang serta bertanggungjawab.

Katanya selepas kakak sulung mereka daripada tujuh beradik meninggal dunia, Allahyarham mengambil peranan sebagai anak sulung dan memastikan keperluan adik-beradik sentiasa terpelihara.

"Rasa sangat ralat sebab bulan lepas kali terakhir jumpa arwah di sini tapi tidak bersembang kerana fikirkan nanti-nantilah. Selepas ayah meninggal pada 2014 dan mak pada 2018, arwah serahkan semua peninggalan orang tua kepada adik-beradik lain," katanya.

Bagi bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kehilangan Allahyarham Hasbullah pastinya dirasai oleh penduduk kawasan Parlimen Gerik Kerana arwah seorang yang berdedikasi.

"Perkhidmatan kepada rakyat bukan hanya di kawasan Gerik tapi seluruh negeri Perak dan negara. Kali terakhir jumpa arwah minggu lalu dan beliau ceria, tidak menunjukkan sebarang perubahan seperti hendak meninggalkan kita," katanya.

Allahyarham Hasbullah yang dilahirkan di Hospital Gerik pada 17 Februari 1957 memulakan kerjaya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah di sini sejurus selepas menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (M4P) pada 1979.

ALLAHYARHAM Datuk Hasbullah Osman. FOTO Arkib NSTP
ALLAHYARHAM Datuk Hasbullah Osman. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 2:19 PM