MASJID Darul Ihsan rosak  selepas dibadai ombak ketika air pasang besar. FOTO ihsan pembaca
MASJID Darul Ihsan rosak selepas dibadai ombak ketika air pasang besar. FOTO ihsan pembaca
Mohd Roji Kawi


Betong: Majlis Islam Sarawak (MIS) mengarahkan Masjid Darul Ihsan di Kampung Semarang, Pusa, di sini, ditutup berkuatkuasa serta merta.

Setiausaha MIS, Ustaz Khalidi Ibrahim berkata, penutupan itu perlu dilakukan atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, bermula hari ini, penduduk kampung berkenaan boleh menggunakan Surau An-Nur di Kampung Sungai Durian Semarang untuk solat berjemaah, solat Jumaat atau sebarang aktiviti keagamaan.

"Pegawai masjid (Masjid Darul Ihsan) seperti imam, bilal dan marbot hendaklah bertugas di Surau An-Nur sehingga masjid baharu siap dibina.

"Pembinaan masjid baharu Kampung Semarang dengan kos RM2.5 juta sudah dimulakan pada awal tahun ini dan dijangka siap pada tahun 2022," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masjid Darul Ihsan rosak teruk selepas dibadai ombak ketika fenomena air pasang besar, Sabtu lalu.

Masjid berkenaan terdedah kepada ombak laut selepas berlaku hakisan teruk sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, kedudukan asal masjid itu agak jauh dari pantai, namun dalam tempoh beberapa tahun lalu hakisan berlaku dengan cepat dan kini menghampiri masjid berkenaan.

Benteng yang dibina sebelum ini gagal menahan hakisan itu turut merosakan tanah perkuburan yang terletak berdekatan masjid.

Berita berkaitan:

  • Masjid rosak dibadai ombak
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 5:31 PM