Masjid Yusof Ishak yang sudah siap dibina sepenuhnya. - Agensi
Masjid Yusof Ishak yang sudah siap dibina sepenuhnya. - Agensi
Agensi

Singapura: Masjid baru di Woodlands yang pembinaannya diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2013 akan dirasmikan hari ini.

Masjid Yusof Ishak yang mengambil sempena nama presiden pertama republik itu, Allahyarham Yusuf Ishak dibina dengan kos sebanyak S$15 juta (RM47.5 juta) dan ia menjadi satu daripada masjid terbesar dan yang ke-68 di Singapura.

Dengan kemampuan untuk memuatkan sehingga 4,200 jemaah pada satu masa, Masjid Yusof Ishak yang juga masjid satelit ke-26, dibina dengan pembiayaan oleh masyarakat menerusi Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF).

Terletak di kawasan seluas 2,500 meter persegi di Woodlands Drive 17, reka bentuk masjid itu menggabungkan ciri masjid tradisional dan warisan Melayu. Ia juga dilengkap dengan lif dan laluan bagi memudahkan jemaah warga emas.

Pembinaan Masjid Yusof Ishak itu dirancang bagi memenuhi permintaan untuk solat berjemaah yang semakin meningkat.

Sebelum ini, Masjid An-Nur di Jalan Admiralty adalah satu-satunya masjid di Woodlands.

Pelbagai acara diatur selama tiga hari sempena perasmiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 9:31 AM