Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Dalam menangani suasana Covid-19 ini, tumpuan khusus kerajaan adalah memulihkan, menjana ekonomi, menyokong aktiviti perniagaan dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara," kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri.

Abd Rahim (Bersatu-Kudat) berkata, jika mengambil kira defisit fiskal semasa termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi, kedudukan hutang serta pendedahan liabiliti kerajaan semasa dianggarkan mencatatkan RM1.257 trilion atau 87.3 peratus daripada (Keluaran Dalam Negara Kasar) KDNK pada akhir September 2020.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya sentiasa mengambil maklum dan prihatin mengenai kedudukan hutang negara dan bertekad memastikan ia sentiasa dalam keadaan terkawal serta tidak membebankan negara dalam jangka masa panjang.

"Had statutori hutang nisbah bayaran khidmat hutang kepada hasil ditetapkan mencatat sekitar 15 peratus daripada KDNK iaitu RM3.5 bilion.

"Sukacita dimaklumkan sebahagian daripada hutang kerajaan ini adalah hutang domestik iaitu 96.7 peratus.

"Iaitu melalui terbitan MGS (instrumen sekuriti kerajaan), MGII (terbitan pelaburan kerajaan Malaysia) dan Bil Perbendaharaan yang pemegang utamanya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa institusi tempatan; manakala pinjaman luar pesisir adalah di tahap rendah iaitu RM29.3 bilion masih di tahap had statutori iaitu RM35 bilion," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan M Karupaiya (PH-Padang Serai), yang meminta Menteri Kewangan menyatakan hutang dan liabiliti kerajaan dan apakah langkah kerajaan dalam memastikan jumlah hutang serta liabiliti itu tidak menjadi beban kepada generasi akan datang.

Abd Rahim berkata, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan sehingga akhir September 2020 berjumlah RM874 bilion atau 60.7 peratus daripada KDNK.

"Berdasarkan pengiraan had statutori hutang nisbah hutang Kerajaan Persekutuan merangkumi MGS, MGII, Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 56.6 peratus daripada KDNK.

"Bagaimanapun, kerajaan menanggung dan terdedah dengan tanggungan komitmen kerajaan seperti komitmen jaminan RM177 bilion bagi melaksanakan projek infrastruktur utama negara seperti pengangkutan awam termasuk LRT, MRT dan PAN Borneo Sarawak.

"Kedua, hutang syarikat 1MDB berjumlah RM32 bilion sehingga September 2020 dengan mengambil kira kadar pertukaran wang asing ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat," katanya.

Selain itu, katanya, ialah anggaran liabiliti kewangan sebanyak RM173.3 bilion merangkumi Projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP), inisiatif kewangan swasta (PFI) dan Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT) sebagai contoh projek pembangunan Putrajaya, pembinaan kuarters polis dan penyelenggaraan fasiliti kerajaan (hospital dan jalan).

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 3:14 PM