NUR Ain menunjukan batu kristal yang ditemui di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) pada Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka. FOTO Mohd Rafi Mamat
NUR Ain menunjukan batu kristal yang ditemui di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) pada Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Jerantut: Batu kristal tanpa warna yang ditemui di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka, di sini merupakan penemuan terbaharu dalam perut bumi Pahang.

Batu kristal bersaiz 4 hingga 4.5 sentimeter dengan berat kira-kira 150 gram itu ditemui empat penyelidik Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menyertai Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka selama lima hari berakhir hari ini.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Elvaene James tidak percaya apabila menemui batu kristal berkenaan bersama tiga pelajarnya, Shuhada Farhana Roslan, Nur Ain Wahidah Mohammad Razali dan Muhammad Aiman Fikri Mohd Sena.

"Kami menemui batu kristal berkenaan di kawasan dilaluan enam yang terdapat laluan air dan banyak batu besar, penduduk mendakwa tempat itu sebelum ini berlaku kejadian kepala air. Untuk sampai ke situ mengambil masa kira-kira sejam berjalan kaki.

"Saya tidak menolak kemungkinan kawasan Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka banyak terdapat batu kristal yang mampu memberi sumber pendapatan sampingan kepada penduduk setempat.

"Saiz batu di sini lebih besar berbanding batu kristal yang ditemui kawasan Lojing, Kelantan," katanya pada Majlis Penutup Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka disempurnakan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Rosilan Said di sini, hari ini.

Seramai 30 penyelidik mengikuti Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka anjuran JPNP dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Mereka terdiri daripada pensyarah dan penuntut universiti termasuk pegawai agensi kerajaan yang melakukan kajian dalam bidang tumbuhan, haiwan, kualiti air, flora, mamaliar, sektor pelancongan, geologi dan serangga.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi berkata, ekspedisi diadakan bagi mengkaji dan menilai kawasan hutan berkenaan.

"Kajian akan dibukukan seterusnya menjadi rujukan kepada kerajaan Pahang untuk tindakan pada masa akan datang.

"Dijangka beberapa penemuan baharu hasil ekspedisi kali ini dapat ditemui terutama membabitkan tumbuhan Rafflesia dan batu batan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 10:50 AM