GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis menahan seorang kontraktor kerana disyaki memperdaya orang ramai dalam urusan pembinaan dan pengubahsuaian rumah sehingga menyebabkan kerugian RM535,000.

Suspek berusia 38 tahun yang mengiklankan perkhidmatannya melalui media sosial ditahan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada jam 10.30 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Elias Omar berkata, suspek dikesan berada di Sungai Petani sebelum ditahan polis.

Katanya, setakat ini sebanyak sembilan laporan polis dibuat mangsa di Kedah membabitkan modus operandi dan suspek sama.

"Siasatan awal mendapati, suspek menggunakan wang deposit yang dibayar mangsa untuk pusingan modal perniagaan.

"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan pembinaan dan pengubahsuaian rumah melalui laman sosial.

"Orang ramai dinasihat supaya mencari maklumat lanjut sebelum berurusan dan menyerahkan wang kepada mana-mana individu.

"Orang ramai boleh menyemak kesahihan maklumat yang diterima melalui laman web https://ccid.rmp.gov.my/semaksmule/ atau melayari https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 2:34 PM