YAHAYA ALI
YAHAYA ALI
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Persidangan Dewan Undangan negeri (Dun) Terengganu yang dijadualkan berlangsung selama empat hari mulai Isnin depan, dipendekkan kepada dua hari sahaja.

Yang Dipertua Dun, Datuk Yahaya Ali berkata, keputusan memendekkan tempoh persidangan termasuk pembentangan Belanjawan 2021 dilakukan sebagai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, persidangan Dun akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Persidangan Dun akan dimulakan dengan ucapan Speaker Dun serta sesi soal jawab lisan dan disusuli dengan pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Pada hari kedua, persidangan dimulakan dengan sesi soal jawab dan perbahasan yang hanya dihadkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Aun)," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Yahaya berkata, persidangan Dun akan diakhiri dengan sesi penggulungan pada sebelah petang pada hari sama.

Beliau berkata, sebagai mematuhi SOP ditetapkan MKN, semua Adun, ketua jabatan dan media perlu memakai pelitup muka serta sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

Katanya, ketua jabatan tidak dibenarkan memasuki dewan persidangan, sebaliknya ditempatkan di kawasan pemerhati manakala pemerhati tidak dibenarkan hadir.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 4:13 PM