DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah. FOTO Arkib NSTP
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan membentangkan Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, 18 Disember ini.

Belanjawan pertama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu akan dibentangkan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Hajiji Noor.

Ia kemudian disusuli Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Sabah Ke-16 selama tiga hari bermula pada 21 Disember hingga 23 Disember ini.

Jabatan Penerangan Sabah dalam kenyataan berkata, liputan media pada hari pembentangan belanjawan dan sesi perbahasan dihadkan kepada media rasmi sahaja.

"Selaras dengan keputusan mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha DUN Sabah pada 30 Oktober lalu, liputan akan dibuat oleh media rasmi kerajaan sahaja dengan jumlah yang dibenarkan sebagai pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

Bagaimanapun katanya, media lain boleh mengikuti pembentangan belanjawan dan persidangan DUN menerusi siaran langsung di YouTube yang dikendalikan Jabatan Komputer Negeri Sabah.

Belanjawan pertama GRS itu dijangka banyak menyentuh mengenai usaha kerajaan negeri dalam memulihkan ekonomi dan menangani kesan penularan pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 12:54 PM