Ahli Dewan Undangan Negeri, Sarawak menjalani ujian swap Covid-19 sebelum menghadiri persidangan DUN yang dijadualkan pada Isnin ini, di bangunan Dewan Undangan Negeri Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Ahli Dewan Undangan Negeri, Sarawak menjalani ujian swap Covid-19 sebelum menghadiri persidangan DUN yang dijadualkan pada Isnin ini, di bangunan Dewan Undangan Negeri Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi

Petra Jaya: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selama lima hari mulai Isnin ini akan berlangsung dalam normal baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom berkata, SOP berkenaan yang mengambil kaedah sama seperti persidangan Dewan Rakyat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)

"Semua yang terbabit dalam persidangan termasuk petugas media harus mematuhi SOP itu yang diluluskan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS)," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat SOP Pelaksanaan Persidangan DUN Sarawak kepada wakil media di Auditorium DUN Sarawak di sini, hari ini.

Pele berkata, pihak keselamatan akan melaksanakan kawalan dan pemeriksaan ketat bagi memastikan SOP itu dipatuhi.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Komunikasi, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Samuel Simon pula berkata, hanya seorang petugas media dari setiap organisasi dibenarkan hadir membuat liputan sepanjang persidangan berlangsung.

Beliau berkata, ia berikutan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang membenarkan hanya 50 peratus kapasiti jemputan dalam satu majlis.

"Sarawak mempunyai lebih 25 organisasi media dan jika kita benarkan lebih daripada seorang wakil media dari setiap organisasi bermakna jumlah yang hadir akan melebihi kapasiti yang dibenarkan oleh JPBN.

"Bagi membolehkan mereka yang tidak dapat membuat liputan di DUN, UKAS menyediakan siaran langsung menerusi laman sosial untuk memudahkan wartawan mengikuti persidangan itu," katanya.

Tinjauan hari ini mendapati, wakil rakyat yang akan menghadiri persidangan itu sudah mula menjalani ujian swab yang dijalankan JKNS selama dua hari di bangunan DUN Sarawak.

Semalam, Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, ujian swab diwajibkan terhadap semua wakil rakyat serta anggota Kabinet negeri termasuk Speaker dan semua yang akan memasuki dewan persidangan sebagai langkah untuk meminimumkan risiko jangkitan Covid-19.

Bangunan DUN juga akan disanitasi Ahad ini iaitu sehari sebelum persidangan dan sekali lagi sehari selepas persidangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 2:18 PM