DEWAN SRI PINANG
DEWAN SRI PINANG
BERNAMA

Georgetown: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan diteruskan, namun jumlah kehadiran termasuk ketua-ketua jabatan dihadkan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang berkata, bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), persidangan kali ini akan dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Am Pelaksanaan Majlis ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, ia akan dilaksanakan dengan langkah-langkah pencegahan penularan pandemik Covid-19 seperti dinasihatkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.

"Prosedur disinfeksi pada permukaan dan tempat kritikal akan dilakukan sebelum persidangan, saringan serta pemeriksaan suhu badan akan dilakukan kepada semua yang hadir dan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter akan dilaksanakan," menurutnya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Law berkata, susunan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semasa persidangan juga akan dijarakkan dengan tambahan penghadang lut sinar bagi setiap tempat duduk.

Katanya, pihak media tidak digalakkan hadir untuk membuat liputan sebaliknya dinasihati mengikuti persidangan itu menerusi siaran secara langsung di laman sesawang rasmi DUN.

Persidangan dewan, yang dijadualkan bermula pada Isnin depan hingga 19 Oktober itu akan diadakan di Dewan Sri Pinang kerana bangunan DUN di Jalan Light, di sini, masih di bawah kerja-kerja pemulihan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 5:22 PM