DEWAN Undangan Negeri (Dun) Perak. FOTO Arkib NSTP
DEWAN Undangan Negeri (Dun) Perak. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, hari ini ditangguhkan sehingga 16 Disember depan, berikutan perkembangan semasa politik di negeri itu.

Speaker Dun Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, selain disebabkan perkembangan politik semasa, penangguhan persidangan Dun juga dibuat kerana pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan negeri, tidak dapat diteruskan.

"Memandangkan agenda pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 tidak dapat dibuat berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri perkara 38(2) dan kedudukan semasa, maka persidangan Dun ditempohkan (ditangguhkan) sehingga Rabu, 16 Disember, jam 2.30 petang," katanya.

Mohamad Zahir pada Sabtu memberitahu Bernama, persidangan Dun hanya boleh diteruskan dengan pelantikan menteri besar yang baharu, bersama sekurang-kurangnya empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco).

Berdasarkan jadual asal, persidangan DUN berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lalu dengan pembentangan Belanjawan 2021 negeri, sebelum bersambung semula pada Selasa hingga Jumaat ini.

Bagaimanapun, susulan kemelut politik yang tercetus pada Jumaat lalu, Mohamad Zahir menangguhkan persidangan sehingga 2.30 petang hari ini.

Pada Jumaat lalu, persidangan sepatutnya bermula dengan sesi soal jawab lisan sebelum diikuti pembentangan belanjawan negeri oleh Menteri Besar ketika itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Namun, speaker membenarkan pembentangan usul 'keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar' oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru), yang menyaksikan Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

Sehari selepas itu, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bersama seluruh barisan Exco dan telah mendapat perkenan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 3:59 PM