AFFENDI Buang menyatakan ATM sentiasa komited bantu tangani Covid-19. FOTO ARKIB NSTP
AFFENDI Buang menyatakan ATM sentiasa komited bantu tangani Covid-19. FOTO ARKIB NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited untuk bekerjasama dan mengekalkan kesiagaannya membantu negara menangani serta memutuskan penularan pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ketika ini, melalui pelaksanaan Op Penawar, 1,140 anggota Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diatur gerak dalam membantu pihak berkuasa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, anggota ini ditempatkan untuk penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR), rondaan berkenderaan serta meningkatkan aspek kawalan seperti pemasangan kawad di kawasan yang berisiko tinggi seperti yang dilaksanakan di Kunak dan Semporna, Sabah.

"Ini juga termasuk pelaksanaan kumpulan petugas operasi pematuhan dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan (PKPP) seperti yang ditetapkan.

"Atur gerak bagi anggota ini akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Klang," katanya pada kenyataan hari ini.

Affendi berkata, sehingga semalam, sebagai contoh, tentera darat menambah 40 anggota untuk ditugaskan di kawasan zon merah di Mukim Klang.

"Op Benteng dioperasikan oleh National Task Force (NTF) dengan ATM sebagai agensi peneraju.

"Ia dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan dan keselamatan," katanya.

Menurut beliau, pada masa sama, kawalan persempadanan maritim dan daratan terus dipertingkat serta diperkukuh terutama membabitkan pantai timur Sabah bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Ini juga termasuk memperkasakan kerjasama kawalan persempadanan di bawah tanggungjawab Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)," katanya.

Beliau berkata, ATM juga melalui Kor Kesihatan Diraja komited bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beroperasi secara bersepadu dengan menyediakan Penasihat Teknikal bagi menyokong pengoperasian KKM dalam menangani wabak Covid-19.

"TUDM turut melaksanakan penerbangan khas membawa peralatan perubatan, pakaian perlindungan diri (PPE) dan sampel RT dengan menggunakan pesawat A400M daripada No 22 Skuadron berpangkalan di Pangkalan Udara Subang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 4:12 PM