FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Abdul Rahemang Taiming

Semporna: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melancarkan Op Cegah Pati (OCP) Khas di tiga daerah di kawasan pantai timur di sini bagi mengekang penularan Covid-19.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, operasi itu sebahagian daripada langkah proaktif yang bagi mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19 sehingga menyebabkan jangkitan kluster baharu meningkat.

Menurutnya, fasa pertama operasi itu akan dilaksanakan bermula hari ini sehingga 30 September ini membabitkan kawasan Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

"Kita percaya ada kemungkinan PATI berada di negara asal mereka akan cuba kembali ke negeri ini menggunakan laluan tikus untuk menyusup masuk semula ke tiga daerah terbabit untuk bekerja.

"Kehadiran pasukan keselamatan di kawasan yang dikenal pasti atau 'hotspot' itu PATI bagi mengekang kemasukan mereka dan penjenayah lain yang boleh mengancam keselamatan negara seperti penjenayah rentas sempadan termasuk kumpulan Abu Sayyaf," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, operasi itu juga sebagai sokongan untuk membantu pihak kerajaan dalam usaha memutuskan rangkaian pandemik tebrabit daripada terus tersebar.

Sementara itu, beliau menggesa orang ramai supaya memberi kerjasama kepada semua pegawai dan anggota keselamatan yang terbabit dalam menjayakan operasi berkenaan.

"Kita berharap agar operasi ini akan mencapai objektifnya terutamanya dalam kita mencegah kemasukan PATI khasnya ke tiga daerah ini yang menunjukkan peningkatan kes positif Covid-19 sejak beberapa minggu ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:55 PM