FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Parit Buntar: Bagi sesetengah pelajar sekolah, peluang bergelar doktor perubatan adalah sesuatu yang mengujakan kerana bidang itu kerjaya profesional dipandang tinggi masyarakat, namun lain pula kisahnya bagi seorang anak muda dari Pulau Pinang.

Boey Tze Zhou, 31, bukan sahaja menolak tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan sebaik usai matrikulasi, sebaliknya memilih menyambung pendidikan dalam program pertanian yang menyaksikan beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dalam bidang penyelidikan cendawan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Nyata keputusannya yang diinspirasikan seorang guru sekolahnya itu tidak sia-sia kerana beliau kini boleh berbangga dengan kejayaan sebagai usahawan cendawan di bawah jenama Boey Mushroom.

"Saya ikuti pengajian dalam bidang pertanian dengan fokus kepada cendawan kerana saya mahu jadi petani, tetapi tidak mahu bekerja di bawah terik matahari kerana tidak suka panas.

"Selepas tamat pengajian pada 2012, saya bersama seorang kawan memulakan perniagaan dengan menanam cendawan tiram kelabu serta cendawan tiram putih daripada benih hasil penyelidikan saya sendiri," katanya ketika ditemui Bernama di Parit Haji Tahir, Jalan Bahru, di sini, baru-baru ini.

Menurut penerima Anugerah Pelajaran Diraja Sultan Selangor ketika konvokesyen UPM pada 2013 itu, beliau dan pengasas bersama Boey Mushroom, Jacky Yip memulakan tanaman cendawan pada skala kecil dengan pengeluaran kira-kira 10 kilogram (kg) sehari di rumah dan kilang ayahnya di Butterworth pada tahun sama.

Katanya, selepas enam bulan, pengeluaran meningkat kepada 40kg sehari dan kini 400kg menerusi dua ladang iaitu di Juru, Pulau Pinang dan di sini, namun masih tidak mampu memenuhi permintaan.

"Keistimewaan cendawan tiram kelabu dan putih Boey Mushroom yang dijual pada harga RM16 sekilogram ini ialah lebih tebal, besar dan kenyal serta manis, dihasilkan menerusi kaedah penanaman berinovatif tanpa gangguan cuaca dan pencemaran," katanya yang memulakan perniagaan itu dengan sumber kewangan sendiri.

Sementara itu, Yip berkata, buat masa ini mereka hanya mampu memasarkan Boey Mushroom di utara Semenanjung menerusi beberapa pasar raya dan 10 pengedar, selain merancang mengeluarkan produk kerepek berasaskan cendawan pada masa akan datang.

Menurut anak jati Perak itu, kilang Boey Mushroom yang dibina di atas tanah seluas 2.8 hektar itu menjual benih kepada pengusaha kecil-kecilan dan jualan cendawan secara runcit selain menerima kunjungan pelancong agro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 5:17 PM