ANTARA peserta program bersama cendawan tiram kelabu yang diusahakan mereka. FOTO Ihsan UMT
ANTARA peserta program bersama cendawan tiram kelabu yang diusahakan mereka. FOTO Ihsan UMT
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Seramai 20 orang kurang upaya (OKU) penglihatan mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu hasil bimbingan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program pemindahan ilmu yang dijalankan UMT bersama Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Terengganu (POCPT) itu bermula sejak 6 Ogos lalu.

Ketua Program Dr Wan Zaliha Wan Sembok berkata, sebanyak RM8,000 diperuntukkan di bawah dana Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS) yang disalurkan oleh Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri (PPIJI) bagi menjayakan program pemindahan ilmu itu,

Beliau berkata, program itu dilaksanakan membabitkan tiga komuniti iaitu POCPT, Asrama Anak Yatim Terengganu dan Sekolah kebangsaan Bukit Tunggal.

"Sebanyak 300 bongkah cendawan separa matang diserahkan kepada 20 peserta daripada POCPT untuk dijaga. Sehingga 17 September lalu, sebanyak 15 kilogram (kg) cendawan tiram kelabu dituai hasil penjagaan rapi 20 peserta cacat penglihatan itu.

"Cendawan tiram itu ditanam secara fertigasi yang menggunakan bongkah cendawan yang terpakai sebagai media tanaman selain bongkah cendawan dijadikan pembaik tanah seperti biochar atau arang hitam," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi POCPT Asmadi Wahab berkata, peserta mula mengambil inisiatif sendiri memulakan penanaman cendawan tiram kelabu di rumah malah menjual hasilnya secara kecil-kecilan.

"Program ini berjaya memberi kesedaran kepada ahli POCPT untuk turut sama bergiat dalam bidang pertanian," katanya.

OKU cacat penglihatan menunjukkan cendawan tiram kelabu yang diusahakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 12:33 PM