AZAHARUDDIN dan Tukinah menunjukkan benih cendawan tiram kelabu yang siap diproses.
AZAHARUDDIN dan Tukinah menunjukkan benih cendawan tiram kelabu yang siap diproses.
TUKINAH menunjukkan proses memasukkan tisu dalam beg mengandungi benih cendawan tiram kelabu.
TUKINAH menunjukkan proses memasukkan tisu dalam beg mengandungi benih cendawan tiram kelabu.
BAHAN pertanian turut dijual.
BAHAN pertanian turut dijual.
AZAHARUDDIN dan Tukinah menunjukkan gandum yang direndam sebagai proses awal penghasilan benih.
AZAHARUDDIN dan Tukinah menunjukkan gandum yang direndam sebagai proses awal penghasilan benih.
BENIH cendawan tiram kelabu yang siap diproses diletakkan di dalam bilik berhawa dingin.
BENIH cendawan tiram kelabu yang siap diproses diletakkan di dalam bilik berhawa dingin.
TISU cendawan yang dijual pada harga RM60 setiap satu.
TISU cendawan yang dijual pada harga RM60 setiap satu.
Mohd Amin Jalil


Kemampuan Bumiputera dalam sektor pertanian komersial bukan sesuatu yang baru, malah bilangan mereka makin bertambah. Ini membuktikan usaha gigih mampu menghasilkan pendapatan lumayan jika dilakukan bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun, jumlah mereka yang terbabit dalam industri pengeluaran benih cendawan masih kurang berbanding kaum lain walaupun ia berpotensi besar kerana permintaan tinggi di pasaran.

Mengambil peluang itu, pasangan suami isteri, Azaharuddin Hamzah, 49, dan Tukinah Mat Shuib, 49, menghasilkan dan menjual benih cendawan tiram kelabu secara komersial.

Aktiviti itu yang dimulakan sejak 2007 di Kawasan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Taman Pinggiran Senawang, Seremban, mendapat sambutan memberangsangkan.

Azaharuddin berkata, pada peringkat awal, projek itu dilakukan bersama rakan kongsi Mohammad Rasul Alpi, 40, tetapi kini sahabatnya itu mengendalikan projek sama di Selangor.

Biarpun tanpa sebarang pengalaman, kecuali dipelajari daripada Internet dan berkongsi ilmu dengan rakan lain untuk mendapatkan maklumat kaedah penghasilan benih cendawan, usaha itu membuahkan hasil apabila benih cendawan tiram kelabu menjadi dan dapat dipasarkan ke seluruh negara.

“Kami bermula dengan mengusahakan tanaman cendawan secara kecil-kecilan, tapi ia tidak bertahan lama selepas benih yang dibeli daripada pembekal kurang bermutu.

“Saya kemudian beralih kepada penghasilan benih cendawan tiram kelabu dan tidak menyangka projek itu menjadi. Kami terus mengorak langkah mengusahakan secara komersial dengan menubuhkan syarikat sendiri, Mentah Resources.

“Syarikat ini pada mulanya dibangunkan dengan nilai pelaburan RM50,000 dengan mengeluarkan benih cendawan tiram kelabu selain menjual bahan mentah pertanian,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Azaharuddin yang sebelum itu berkhidmat di sebuah syarikat di Senawang meletakkan jawatan bagi memberikan tumpuan kepada perniagaan itu.

Dia yang kini dibantu empat pekerja mengakui pengeluaran benih cendawan tiram kelabu tidak mencukupi untuk menampung permintaan daripada pelanggan dari Pahang, Melaka, Johor dan Selangor.

Menurutnya, melalui bantuan mesin bernilai lebih RM100,000, jumlah benih cendawan yang dapat dikeluarkannya sebanyak 250 beg sehari dengan setiap beg seberat 300 gram.

“Dalam sebulan kami mampu mengeluarkan antara 4,000 hingga 5,000 beg dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung permintaan.

“Bagaimanapun, kami sedang berusaha menambah pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya yang memaklumkan setiap beg benih cendawan seberat 300 gram dijual pada harga RM3.

Menurut Azaharuddin, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) banyak membantu dari segi kepakaran, bimbingan dan khidmat nasihat.

Bapa kepada tiga orang anak berusia antara 18 hingga 22 tahun itu berkata, MARDI turut memberikan kursus dan latihan keusahawanan selain membantu memindahkan teknologi penghasilan benih cendawan tiram kelabu.

“Setakat ini, syarikat saya pembekal terbesar benih cendawan tiram kelabu Bumiputera di Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Tukinah yang bertindak sebagai pengurus operasi makmal berkata, proses penghasilan benih cendawan dilakukan mengikut standard ditetapkan.

“Saya menggunakan biji gandum yang direndam sehari. Ia kemudian dikeringkan sebelum ditimbang dalam sukatan 300 gram sebelum dibungkus bersama penutup dan beg plastik.

“Beg benih cendawan dimasukkan ke bilik suntikan bagi tujuan penyediaan tisu cendawan,” katanya.

Katanya, persekitaran yang bersih diperlukan dalam makmal termasuk proses menyahkuman menggunakan peralatan khas penunu bunsen dan semburan pembasmi kuman.

“Setakat ini, penghasilan benih cendawan yang kami keluarkan bermutu dan semua pelanggan berpuas hati,” katanya.

Sementara itu, Azaharuddin berkata, produk pertanian berasaskan fertigasi yang turut dijual sebagai nilai tambah kepada aktiviti perniagaan benih cendawan.

“Ramai pengusaha pertanian terutama yang menggunakan sistem fertigasi mendapatkan bahan mentah seperti baja dan peralatan lain daripada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 10:56 AM