DUA kilang yang disyaki menyebabkan pencemaran udara di Kawasan Perindustrian Zuhrah, Rasa diarahkan memasang tapisan udara mencukupi. FOTO Ihsan MDHS
DUA kilang yang disyaki menyebabkan pencemaran udara di Kawasan Perindustrian Zuhrah, Rasa diarahkan memasang tapisan udara mencukupi. FOTO Ihsan MDHS
Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Dua kilang yang disyaki menyebabkan pencemaran udara di Kawasan Perindustrian Zuhrah, Rasa, di sini, diarahkan memasang tapisan udara mencukupi dan mematuhi syarat ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berkata, pihaknya bersama JAS menjalankan operasi pemeriksaan ke atas dua kilang yang menyebabkan punca pencemaran udara di Kawasan Perindustrian Zuhrah, Rasa, semalam.

Menurutnya, operasi dijalankan berikutan aduan yang diterima MDHS terhadap kilang yang mengeluarkan asap banyak sehingga menyebabkan pencemaran udara di kawasan sekitar.

"Ketika anggota operasi menjalankan pemeriksaan, kedua-dua premis didapati menjalankan aktiviti melebur kuprum kepada jongkong.

"Pihak majlis kemudian mengeluarkan Notis Menghendaki Kacauganggu Dihapuskan (Seksyen 82) selama 14 hari yang mana dalam tempoh itu, kedua-dua premis perlu memasang tapisan udara yang mencukupi dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh JAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, JAS turut mengeluarkan notis Makluman Penahanan Operasi Kelengkapan mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta 127 dan notis Field Citation.

"Pemantauan semula akan dilakukan oleh agensi yang terbabit setelah tamat tempoh notis. Jika premis didapati ingkar dengan arahan dan notis yang dikeluarkan oleh MDHS serta tidak mematuhi syarat-syarat pihak JAS, penutupan premis selama 14 hari akan dilaksanakan.

"Pada hari yang sama, anggota operasi turut membuat siasatan berkenaan aduan aktiviti pembakaran terbuka oleh sebuah kilang yang menjalankan aktiviti Kitar Semula Plastik di Kawasan Perindustrian Sungai Choh.

"Siasatan mendapati terdapat kesan tompokan kebakaran yang dihasilkan bersebelahan tembok premis. Pihak jabatan dalam proses carian status tanah untuk memastikan pelaku bagi kebakaran itu untuk memastikan pemilik tanah memelihara tanah milik daripada kebakaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 2:38 PM