MDHS mengarahkan premis Kitar Semula di Kawasan Perindustrian Rasa menghentikan operasi serta merta. FOTO Md Fuzi Abd Lateh.
MDHS mengarahkan premis Kitar Semula di Kawasan Perindustrian Rasa menghentikan operasi serta merta. FOTO Md Fuzi Abd Lateh.
Md Fuzi Abd Lateh


SEBUAH kilang kitar semula di kawasan Perindustrian Rasa, Hulu Selangor diarah menghentikan operasi serta-merta, semalam kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) Shukri Mohamad Hamin berkata, arahan itu dikeluarkan selepas kilang terbabit masih meneruskan operasi walaupun notis sudah dikeluarkan supaya menghentikan operasi mereka pada serbuan kali pertama, 3 April lalu.

“Serbuan dilakukan selepas mendapat aduan awam. Pemeriksaan pasukan penguat kuasa mendapati premis ini masih lagi beroperasi dengan membawa sisa plastik untuk diproses seperti biasa.

“Premis ini tidak mendapat kebenaran dan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan Malaysia ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, operasi dijalankan selama sejam diketuai Penolong Penguat kuasa Kanan MDHS, Khairul Nizam Muhamad Khanafi.

Ia turut disertai 20 anggota lain terdiri pegawai mereka, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) dan kumpulan Task Force dari Ibu Pejabat Daerah Polis Hulu Selangor.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa mengeluarkan notis tegas penutupan serta merta dan pengusahanya didapati melakukan dua kesalahan iaitu melanggar PKP serta menjalankan aktiviti kitar semula plastik walaupun lesen perniagaan mereka hanyalah kitar semula kertas.

“Ketika serbuan terdapat 23 pekerja di dalam premis terdiri daripada warga tempatan dan warga asing. “Semua pekerja dibawa ke IPD Hulu Selangor untuk dijalankan siasatan lanjut,” katanya.

Shukri berkata, tindakan terhadap pengusaha diambil di bawah Undang-Undang Kecil Tred 43 (1) (a) dan (b) dan Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007.

Menurutnya, pihak MDHS tidak akan berkompromi dengan semua pihak termasuk pemilik premis yang masih berdegil dan melanggar arahan perundangan ketika PKP dilaksanakan ini demi membantu membendung penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 10:33 AM