PEMERIKSAAN dilakukan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Shukri Mohamad Hamim bersama anggotanya semalam.
PEMERIKSAAN dilakukan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Shukri Mohamad Hamim bersama anggotanya semalam.
Hidayatul Akmal Ahmad


MAJLIS Daerah Hulu Selangor hari ini menyerbu dua kilang kitar semula plastik import di kawasan perindustrian Zuhrah, Rasa, Selangor, di sini, semalam.

Serbuan diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Shukri Mohamad Hamim serta 100 anggota.

Menurut Shukri, hasil siasatan awal mendapati, pengusaha kilang kitar semula plastik itu beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah dan pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum ini.

“Salah sebuah kilang berkenaan dipercayai berasal dari Kuala Langat dan pemilik memindahkan aktiviti perniagaannya di daerah ini tahun lalu.

“Kilang berkenaan dipercayai menyewa di daerah ini dan didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan sah. Pengusaha juga pernah memohon lesen daripada MDHS untuk menjalankan perniagaan tetapi ditolak,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi.

Beliau berkata, kilang itu tetap meneruskan operasi walaupun notis untuk memberhentikan aktiviti sudah dikeluarkan pada 17 Januari lalu.

“Kilang yang diarahkan tutup itu pula didapati menjalankan aktiviti kitar semula plastik dengan tidak mematuhi syarat iaitu meletak apa-apa timbunan yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Pengusaha kilang diberi tempoh selama tujuh hingga 14 hari untuk melupuskan bahan kitar semula plastik itu,” katanya sambil memberitahu, jarak kedua-dua lokasi kilang itu juga berdekatan dengan Sungai Selangor.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Operasi bersepadu itu turut disertai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS);Jabatan Alam Sekitar (JAS); Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor (PTDHS); Tenaga Nasional Berhad; Air Selangor; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) serta Jabatan Imigresen.

PEMERIKSAAN dilakukan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Shukri Mohamad Hamim bersama anggotanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 5:39 PM