PENGUATKUASA MDHS menyerbu kilang kitar semula. FOTO Md Fuzi Abd Lateh
PENGUATKUASA MDHS menyerbu kilang kitar semula. FOTO Md Fuzi Abd Lateh
Md Fuzi Abd Lateh


MAJLIS Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengarahkan dua kilang kitar semula di Mukim Rasa, Hulu Selangor menghentikan operasi mereka segera apabila didapati menjalankan urusan tanpa lesen.

Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin berkata, operasi dilakukan penguatkuasa MDHS, 10 Mei lalu disertai 39 anggota daripada Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Perancang MDHS serta Ahli Majlis kawasan Rasa, Law Chun Yong.

Katanya, operasi bermula 11.15 malam di kilang pertama yang dilaporkan menjalankan perniagaan kitar semula plastik di Kawasan Perindustrian Zurah di Rasa.

"Pemeriksaan awal di sekitar kawasan premis berkenaan apabila pegawai kami mengesyaki aktiviti kitar semula plastik berdasarkan kepada bahan dan peralatan melebur plastik yang masih panas terdapat di sini.

"Kami menemui pengurus premis di lokasi ini dan beliau menunjukkan lesen perniagaan yang dimilikinya. Hasil siasatan mendapati aktiviti yang dijalankan tidak sama dengan aktiviti perniagaan yang dilesenkan oleh pihak MDHS," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, menurut pengurus berkenaan premis ini menjalankan aktiviti memproses papan litar komputer untuk dijadikan bongkah batu tetapi lesen yang dikeluarkan MDHS adalah untuk menjual, membeli serta memborong aluminium, tembaga emas, perak, piuter, timah putih dan komponen logam lain.

Katanya, mereka mengeluarkan notis penutupan premis itu selama 14 hari di bawah Undang-Undang Kecil 43 (1) (a) dan (b) , Undang-Undang kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007.

"Lesen perniagaan premis juga ditarik balik untuk proses penggantungan.Pintu utama premis ini juga ditutup untuk mengelakkan sebarang urusan perniagaan mereka dijalankan selepas ini.

"Dalam serbuan berasingan, kami juga menyita satu lagi premis memproses aluminium di Mukim Rasa yang beroperasi secara haram. Ketika itu, pemilik premis dan pekerja sedang rancak beroperasi. Pegawai kami juga menemui jentera yang digunakan dan tiga pallet jongkong aluminium seberat satu tan di lokasi kejadian," katanya.

Shukri berkata, mereka menyita peralatan yang digunakan iaitu dua forklift dan tiga pallet jongkong aluminium untuk dihantar ke pejabat MDHS di Kuala Kubu Bharu .

Katanya, bagi kes itu tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil 3 dan 38 Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007.

Menurutnya, pendakwaan akan dilakukan sekiranya pemilik tanah dan pengusaha masih ingkar dengan meneruskan kegiatan haram tanpa mendapatkan kelulusan sah MDHS.

Katanya, tanah berkenaan juga didapati diwartakan untuk kawasan berstatus pertanian bukannya untuk perindustrian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 11:36 AM