TENGKU DATUK SRI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
TENGKU DATUK SRI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan tetap komited dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di seluruh negara dan sentiasa memastikan barisan hadapan serta sistem kesihatan mempunyai dana yang mencukupi untuk melindungi rakyat.

Sejak Februari 2020, kerajaan memperuntukkan lebih RM1.7 bilion bagi memerangi penularan Covid-19 yang disalurkan melalui 14 kementerian dan kerajaan negeri.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini sebanyak RM1 bilion diberi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), RM250 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan RM247 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, kerajaan tidak teragak-agak untuk menambah peruntukan kewangan sekiranya perlu untuk berbuat demikian terutamanya bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan.

"Di saat gelombang terbaru Covid-19 melanda Sabah, kerajaan melalui KKM sudah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM44 juta untuk mengukuhkan barisan hadapan kesihatan negeri.

"Ini meliputi penambahan peralatan perlindungan diri (PPE), bekalan perubatan dan kelengkapan perubatan seperti katil pesakit serta alat bantuan pernafasan atau ventilators.

"Selain itu, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini juga meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Nadma untuk menyokong usaha menangani penularan wabak terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua peruntukan tambahan ini selaras dengan komitmen bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

#kw peruntukan, Nadma, kerajaan, Covid-19, Menteri Kewangan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 6:20 PM