Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion diumumkan kerajaan sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tahun lalu saja, pakej yang dilaksanakan bernilai RM305 bilion atau 22.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya ia adalah antara kadar terbesar berbanding pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Menurutnya agenda utama kerajaan sejak awal penularan wabak Covid-19 adalah untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

"Sehubungan itu, ia mesti disokong melalui sistem kesihatan awam yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman kesihatan, berada pada kapasiti optimum dan berfungsi pada tahap yang terbaik.

"Untuk itu, Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM, selaku institusi yang menerajui segenap aspek berkaitan kesihatan awam dibekalkan peruntukan khas lebih RM3.7 bilion khusus sebagai perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19, tidak termasuk perolehan vaksin.

"Antaranya di bawah pakej Prihatin sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan, di bawah Belanjawan 2021 sebanyak RM1.4 bilion, manakala peruntukan tambahan lebih RM500 juta ringgit dibuat bawah pakej Pemerkasa Tambahan. Malah, kerajaan persekutuan juga menyalurkan peruntukan khas kepada semua negeri bagi menangani wabak Covid-19 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM260 juta," katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memperkasa usaha di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan kejayaan proses vaksinasi seperti mana ketika ini.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan imunisasi 100 peratus populasi dewasa menjelang akhir Oktober nanti.

"Inilah sasaran terpenting dalam memastikan kejayaan pelan pemulihan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 12:25 PM