TENGKU DATUK SERI ZAFRUL ABDUL AZIZ
TENGKU DATUK SERI ZAFRUL ABDUL AZIZ
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah lebih tinggi iaitu RM31.9 bilion berbanding RM30.6 bilion pada tahun ini.

Menurutnya, di dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, jumlah bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis sebanyak RM4.29 bilion diasingkan dan diperuntukkan di bawah butiran 080000 (Program Khusus).

"Ini termasuk Bekalan Perubatan Fasiliti Perubatan Kerajaan sebanyak RM2.89 bilion dan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat sebanyak RM1.4 bilion.

"Inilah sebabnya mengapa jumlah peruntukan di bawah butiran 020000 (Perubatan) menunjukkan 'pengurangan' daripada RM14.2 bilion (2020) kepada RM11.3 bilion (2021).

"Butiran ini mengandungi peruntukan bagi pelbagai bidang kepakaran kesihatan termasuk nefrologi dan farmasi. Hakikat yang sebenar, tiada bidang kepakaran yang mengalami pengurangan peruntukan," katanya menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tohmahan daripada pelbagai pihak mengenai peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2021.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM24 juta bagi menangani isu kesihatan mental melalui pengukuhan Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans.

"Dari segi lain, kerajaan menyediakan RM420 juta untuk tingkatkan Rancangan Makanan Tambahan dengan bekalan susu setiap hari persekolahan buat manfaat murid dari keluarga berpendapatan rendah.

"Kita mahu anak-anak membesar dengan sihat, mendapat pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh," katanya.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM475 juta sebagai peruntukan tambahan untuk bekalan reagen dan bahan guna habis yang diperlukan berkaitan Covid-19 dan RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan.

"Malah, kerajaan memperuntukkan RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19 dan RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.

"Selain itu, kerajaan juga menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi SOP norma baharu," katanya.

Katanya, peruntukan tambahan itu tidak termasuk dalam peruntukan belanja mengurus yang terkandung di dalam Buku Anggaran Perbelanjaan kerana ia diperuntukkan secara berasingan di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

"Semua peruntukan itu belum dikira lagi jumlah yang disalur pada tahun ini apabila kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan kesihatan awam berkaitan Covid-19 termasuk untuk membeli Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE), reagen dan bahan guna habis.

"Sekali lagi saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi di dalam usaha melindungi nyawa dan kesihatan rakyat Malaysia," katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan Belanjawan 2021 membabitkan RM322.5 billion di Parlimen sekali gus menjadikan ia adalah perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 10:19 PM