Zafrul Abdul Aziz menyampaikan ucapan perasmian HRDF Placement Centre (HPC) di Conference Hall, Level 3, KLCC. FOTO ASWADI ALIAS
Zafrul Abdul Aziz menyampaikan ucapan perasmian HRDF Placement Centre (HPC) di Conference Hall, Level 3, KLCC. FOTO ASWADI ALIAS
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan memegang prinsip akauntabiliti dan ketelusan tadbir urus kewangan dalam menguruskan perbelanjaan tambahan bagi tempoh darurat.

Kementerian Kewangan telahpun menerbitkan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PB 1.4, Tatacara Anggaran Perbelanjaan Tambahan Bagi Tempoh Darurat yang menggariskan panduan, hal-hal berkaitan tadbir urus perbelanjaan tambahan,

dan juga proses yang terbabit berkaitan pengurusan perbelanjaan tambahan sepanjang tempoh darurat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tadbir urus yang digariskan akan memastikan bahawa peruntukan tambahan bagi tahun ini adalah perbelanjaan yang amatdiperlukan.

"Kedudukan kewangan kerajaan juga turut diambil kira oleh Kementerian Kewangan sebelum sebarang permohonan dipertimbangkan.

"Selain itu, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Tatacara Kewangan 1957 tidak membenarkan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan mengurus.

"Oleh itu, kerajaan perlu memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi hasil kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini, bagi menjawab beberapa tohmahan dan andaian yang timbul dari pelbagai pihak mengenai ketelusan dan keikhlasan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam penggunaan segala dasar bagi mencapai matlamat ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, sebarang perbelanjaan tambahan yang dibuat perlu mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada bagi menentukan disiplin dan prosedur yang perlu dipatuhi kerajaan.

"Ordinan ini tidak mengenepikan atau membatalkan had hutang berkanun, mahupun keperluan Baki Akaun Semasa. Malah, dengan keperluan siaran perbelanjaan menerusi pewartaan, ini bermakna kerajaan adalah telus dan berusaha memastikan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan perbelanjaan, khususnya dalam tempoh darurat ini," katanya.

Menurutnya, beliau turut menjelaskan mengenai proses kelulusan perbelanjaan tambahan Kerajaan Persekutuan oleh Dewan Rakyat.

"Secara lazimnya, Kementerian Kewangan akan meluluskan permohonan peruntukan tambahan terlebih dahulu melalui Kumpulan Wang Luar Jangka, Simpanan Luar Jangka atau Surat Kuasa Berbelanja sebelum mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat.

"Sebagai contoh, perbelanjaan tambahan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019 hanya dibentangkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada pertengahan tahun 2020 untuk persetujuan dan kelulusan Parlimen.

"Oleh yang demikian, salah satu tujuan pindaan ordinan ini dibuat adalah untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi tahun 2020 diluluskan dengan segera, mengambil kira perbelanjaan tambahan 2020 ini telahpun dibelanjakan pada tahun lalu. "Pada masa sama, Akaun Awam Kerajaan Persekutuan 2020 juga sedang dalam proses audit untuk dimuktamadkan.

"Tambahan pula, ordinan ini hanya menyentuh perbelanjaan tambahan, dan tidak sekali-kali menyentuh berkenaan penyediaan belanjawan tahunan.

"Ini bermakna sama seperti Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2022 (iaitu belanjawan untuk tahun hadapan) di Parlimen, selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan.

"Perlu ditekankan bahawa tujuan pengisytiharaan darurat oleh Perdana Menteri pada 11 Januari 2021 adalah untuk memastikan tindakan yang tangkas dan segera untuk menangani penularan wabak Covid-19 bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.

"Langkah-langkah juga adalah bersifat sementara, dan bukan kekal. Sebaik sahaja darurat diisytiharkan tamat, segala tindakan yang telah diambil oleh kerajaan sepanjang tempoh ini akan dibentang dan disoal jawab pada sesi Parlimen dan Dewan Rakyat kelak," katanya.

Menteri Kewangan berkata, buat masa ini, fokus utama kerajaan adalah untuk melonjakkan ekonomi, serta menangani masalah struktur demi pertumbuhan dan ketahanan sosioekonomi.

"Sekiranya terdapat keperluan bagi perbelanjaan tambahan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, yakinlah bahawa kerajaan akan menguruskannya dengan komitmen yang tegas dan telus terhadap disiplin fiskal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:16 PM