LAPORAN Portal Harian Metro.
LAPORAN Portal Harian Metro.
Rosman Shamsudin


Slim River: "Tak tahulah mak sempat atau tidak makan hasil buah-buahan yang ditanam di kebun ini," kata mangsa kemalangan maut, Nor Aini Mohd Sam, 56, kepada anak lelakinya, Azrul Azizul Mukminin Mohamed Tahir, 30 ketika di kebun buah-buahan milik mereka di Kampung Gajah, dekat sini, baru-baru ini.

Azrul Azizul Mukminin berkata, dia tidak menyangka kata-kata ibunya ketika mereka berada di kebun berkenaan bersama bapanya, Mohamed Tahir Junus, 64 menjadi petanda insan kesayangannya akan pergi selamanya.

"Ketika kejadian, ayah dan emak dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Rumah Awam Dua, Tanjung Malim , selepas tiga hari melawat kami di Air Kuning, Tapah.

"Saya bersama emak dan ayah sempat ke kebun buah-buahan yang diusahakan dan ketika itulah emak berkata demikian, namun saya hanya mendiamkan diri," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Slim River, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, ayahnya pula asyik menyuarakan kerisauan sekiranya tidak dapat melawat mereka sekeluarga, seandainya perintah larangan rentas negeri dikuatkuasakan memandang kes Covid-19 semakin meningkat.

"Saya tidak percaya apabila dimaklumkan ayah dan emak terbabit kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi tadi kerana mereka baru bertolak pulang ke rumah.

"Namun, ketika dalam perjalanan ke hospital saya sempat melihat gambar kemalangan yang dihantar kepada saya dan selepas dihubungi kakak barulah saya percaya kedua-dua mereka sudah pergi," katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Mohamed Tahir Junus, 64 dan isterinya, dan Nor Aini Mohd Sam,56, berasal dari Rumah Awam, Jalan Ketoyong, Tanjung Malim maut di tempat kejadian, selepas terbabit kemalangan di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran simpang masuk ke Kampung Klah Baru, dekat sini.

Kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga dan Perodua Myvi.

Sementara, pemandu kereta Perodua Myvi pula parah dan dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

Berita berkaitan:

  • Dua maut, seorang parah kemalangan dua kereta [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 4:55 PM