Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Semua masjid, surau dan surau Jumaat di Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh mendirikan solat Jumaat serta solat berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu diputuskan selepas berbincang bersama Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebelum dipersembahkan serta diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, katanya, bilangan jemaah adalah terhad mengikut keluasan.

"Solat Jumaat tidak melebihi 50 orang jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

"Solat fardu pula tidak melebihi 20 orang jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zulkifli berkata, kehadiran jemaah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian.

"Saya mengharapkan JAWI dapat memastikan semua tatacara prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sebaiknya oleh jemaah demi kemaslahatan bersama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 9:03 PM