DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan bantuan kepada nelayan pada majlis YADIM Peduli Pasca Musaadah Covid-19, di Dewan Terbuka Pelabuhan LKIM Chendering, hari ini. FOTO Baharom Bakar
DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan bantuan kepada nelayan pada majlis YADIM Peduli Pasca Musaadah Covid-19, di Dewan Terbuka Pelabuhan LKIM Chendering, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


JAWATANKUASA masjid dibenarkan memasang kanopi di kawasan lapang di pekarangan masjid untuk jemaah menunaikan solat Jumaat, jika ruang solat tidak mencukupi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia juga boleh menyelesaikan isu solat Jumaat dua sesi.

Bagaimanapun, katanya, pengurusan masjid tetap tertakluk kepada amalan penjarakan sosial dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Solat Jumaat dua sesi secara rasminya tidak boleh dilaksanakan di Wilayah Persekutuan seperti diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI)," katanya yang ditemui selepas merasmikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli Pasca Musa'adah Covid-19 di Dewan Terbuka Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Yadim, Nasruddin Hassan; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Hilmi Harun dan Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menurut Dr Zulkifli berkata, bagi negeri lain, solat Jumaat dua sesi adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Jika sesak solat di bawah kanopi dan kawasan lapang masjid juga dibolehkan (sebagai ganti solat dua sesi)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 4:16 PM