Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sebanyak 782 masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan dibenarkan melaksanakan solat Jumaat namun tidak melebihi 50 jemaah.

Bagaimanapun, bilangan jemaah juga bergantung kepada keluasan surau dan masjid selepas diambil kira penjarakan fizikal antara jemaah terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya 50 jemaah juga dibenarkan menunaikan solat Jumaat walaupun masjid atau surau terbabit lebih luas.

"Hari ini kita mendapat maklumat daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkaitan aktiviti agama di masjid dan surau.

"Solat fardu dibenarkan tidak melebihi 20 jemaah walaupun masjid atau surau lebih besar.

"Perintah itu berkuatkuasa mulai hari ini di Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala di Labuan, ia berkuatkuasa berdasarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula esok 17 Oktober," katanya.

Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias ketika membaca doa selepas mengimamkan solat jumaat dan solat hajat. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias ketika membaca doa selepas mengimamkan solat jumaat dan solat hajat. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Ismail Sabri berkata, bagi umat Islam di Selangor, pihaknya dimaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bahawa semua solat berjemaah dan aktiviti agama di 2,450 masjid, surau solat Jumaat, serta surau biasa ditangguhkan, bermula 14 Oktober lalu hingga 27 Oktober ini.

"Bagaimanapun, bagi tujuan pengimarahan, azan dibenarkan dikumandangkan pada setiap waktu.

"Solat fardu berjemaah dibenarkan dengan tidak melebihi enam jemaah termasuk muazzin dan imam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:54 PM