GAMBAR hiasan. FOTO Nadim Bokhari
GAMBAR hiasan. FOTO Nadim Bokhari
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sebarang aktiviti khas Ramadan di masjid dan surau di zon merah di lima daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Mohd Yusri Md Daud berkata, ia membabitkan majlis berbuka puasa, moreh, sahur, solat tarawih, tadarus al-Quran dan qiamullail serta program keagamaan.

Katanya, selain itu aktiviti-aktiviti sosial serta kemasyarakatan seperti jamuan, kenduri, gotong royong dan sebagainya juga tidak dibenarkan.

"Bagi solat Jumaat di zon merah, hanya 50 jemaah dibenarkan tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

"Solat fardu di masjid dan surau di zon merah hanya dibenarkan kepada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid serta anak kariah tidak melebihi 20 jemaah.

"Manakala jemaah solat fardu dan Jumaat di zon jingga adalah separuh daripada keluasan masjid," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, aktiviti khas Ramadan bagi zon hijau, kuning serta jingga dibenarkan dengan had waktu yang minimum dengan masjid dan surau perlu ditutup sebaik solat berakhir.

Katanya, solat tarawih di zon hijau, kuning dan jingga dihadkan masa sehingga 10.30 malam sahaja, manakala program berbuka puasa, moreh serta sahur dilaksanakan secara edaran makanan siap dibungkus dan jamuan di dalam kawasan masjid dan surau tidak dibenarkan.

"Program qiamulail di masjid dan surau tidak digalakkan, namun jika dilaksanakan hendaklah bermula pada 4.30 pagi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Program tadarus al-Quran hendaklah dielakkan.

"Solat sunat Aidilfitri pula hanya dibenarkan di zon hijau, kuning dan jingga sahaja mengikut kaedah ketetapan seperti solat Jumaat dan fardu iaitu berdasarkan keluasan masjid.

"Manakala solat Aidilfitri bagi zon merah adalah tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan di rumah,"katanya.

Mohd Yusri berkata, aktiviti pengurusan jenazah (bukan Covid-19) di masjid adalah dibenarkan di zon hijau, kuning dan jingga dengan terhad kepada pegawai atau jawatankuasa masjid, ahli keluarga si mati dan ahli kariah sahaja mengikut ruang solat utama masjid dengan penjarakan fizikal.

Katanya, solat jenazah bagi zon merah dibenarkan, namun tidak melebihi 20 orang dengan penjarakan fizikal.

"Pengurusan jenazah di perkuburan seperti pengebumian, talqin dan doa adalah tidak melebihi 20 orang termasuk ahli keluarga si mati sahaja. Aktiviti ziarah kubur dibenarkan kecuali zon merah," katanya.

Katanya, pihak berkuasa berhak menentukan larangan lebih ketat terhadap mana-mana masjid dan surau di zon merah dari semasa ke semasa dalam memastikan pengekangan penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 2:34 PM