GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mempertimbangkan untuk menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Umas-Umas di Felda Umas, di sini, sebagai pusat kuarantin sekiranya penularan Covid-19 di kawasan itu terus meningkat.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ia penting sebagai persediaan pasukan keselamatan dan barisan hadapan menghadapi sebarang kemungkinan di situ.

"Saya juga minta kerjasama penduduk termasuk peneroka dan kakitangan Felda supaya bersama-sama membantu usaha kerajaan dalam mengekang penularan serta memutuskan rantaian Covid-19 ini," katanya ketika ditemui media di pintu kawalan utama Felda Umas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Peter berkata, pihaknya bersama agensi keselamatan lain kini giat melakukan kawalan keselamatan di semua laluan keluar masuk ke Felda Umas selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula semalam sehingga 26 Oktober depan.

Katanya, empat laluan keluar masuk ke daerah ini termasuk tiga lorong tikus yang dikenal pasti sudah ditutup menggunakan dawai berkawat selaras perlaksanaan PKPD.

"Polis juga akan menghantar pasukan pemantau bagi memastikan penduduk Felda Umas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, terutama larangan keluar masuk kecuali dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Dalam pada itu, Peter turut meminta warga Felda Umas supaya bertenang dan bersabar, selain memberi jaminan kebajikan penduduk akan diberi perhatian.

"Penduduk tidak perlu bimbang kerana bantuan akan disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kalabakan yang diketuai oleh Pegawai Daerah," katanya.

Terdahulu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelaksanaan PKPD di Felda Umas berikutan peningkatan kes di kawasan berkenaan yang membabitkan 17,549 penduduk.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 3:15 PM