GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Beberapa lagi kawasan di Sabah dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 21 Jun ini hingga 4 Julai nanti susulan kadar kebolehjangkitan Covid-19 tinggi di kawasan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes Covid-19 membabitkan Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah.

Menurutnya, secara kumulatifnya, seramai 19 individu disahkan positif Covid-19 selepas KKM menjalankan ujian saringan ke atas 29 individu di kawasan berkenaan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di situ.

"KKM hari ini turut melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh, Kelantan yang mencatatkan peningkatan kes sebanyak 41 kes dalam tempoh seminggu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Fasa 1 dan Fasa 2, Taman Digot, Penampang, Sabah, turut dikenakan PKPD selepas mencatatkan lapan kes positif Covid-19.

"Selain itu, Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu, Sabah turut dikenakan PKPD apabila lapan kes positif direkodkan hasil 40 ujian saringan dilakukan di lokaliti terbabit.

"Sehubungan itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di empat lokaliti berkenaan bermula 21 Jun ini hingga 4 Julai nanti bagi membolehkan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan bagi mengelak penularan dalam komuniti," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di beberapa lokaliti termasuk empat Rumah Panjang di Batang Oya, Dalat dan Mukah, Sarawak yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan dua minggu lagi bermula 21 Jun ini.

"Lokaliti yang terbabit adalah Rumah Panjang Bala anak Umba, Rumah Panjang Tulu anak Sli, Rumah Panjang Duah anak Entingi, Rumah Panjang Balik anak Gema, Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh.

"Berikutan penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti berkenaan, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di lokaliti terbabit sehingga 4 Julai nanti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang serta asrama pekerja Kilang Eco Medi Glove, Jalan Tembaga Kuning, Mukim Taiping, Daerah LMS, Perak.

"Lokaliti lain yang ditamatkan PKPD di Sabah adalah Felda Umas, 4, Kalabakan, Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau serta tiga perkampungan di Tawau iaitu Kampung Blok 31, Kampung Sentosa, Blik 5 Hilltop dan Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 7:26 PM