PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Farizul Hafiz Awang
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Farizul Hafiz Awang
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima sub zon Wilayah Persekutuan Labuan, tiga mukim dalam daerah Lipis, Pahang dan dua lokaliti di Putatan, Sabah.

Selain itu, PKPD turut dikenakan di Ladang Felda Global Ventures (FGV) Kalabakan dan Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan mendadak kes Covid-19 di lima sub zon dalam Wilayah Persekutuan Labuan di mana kawasan itu berstatus jingga dan merah.

Menurutnya, kadar kebolehjangkitan bagi Wilayah Persekutuan Labuan semalam adalah 2.55 iaitu melebihi 2.00 yang berkemungkinan akan berlaku jangkitan dengan skala lebih besar.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lima sub-zon dalam Wilayah Persekutuan Labuan bermula dari 26 Mei sehingga 24 Jun ini.

"Selain itu, Mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu dalam daerah Lipis turut dikenakan PKPD," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini, Mukim Budu mencatatkan 51 kes positif, Mukim Kuala Lipis (24) dan Mukim Penjom (57) menjadikan keseluruhan kes dikesan adalah sebanyak 132 kes dalam tempoh 24 hari dari 1 Mei hingga hari ini daripada keseluruhan 938 individu yang disaring.

"Sehubungan itu, ketiga-tiga mukim terbabit dikenakan PKPD bermula 26 Mei hingga 8 Jun ini.

"Dua lokaliti di Putatan, Sabah iaitu Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau juga dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu apabila sebanyak 21 kes positif direkodkan hasil daripada 282 ujian saringan yang dilaksanakan.

"Selepas membuat penilaian risiko, PKPD akan dilaksanakan di dua lokaliti itu bermula 26 Mei hingga 8 Jun ini," katanya.

Menurutnya, Ladang Felda Global Ventures (FGV) Kalabakan Selatan, Kalabakan, Sabah turut dikenakan PKPD bermula 26 Mei hingga 8 Jun ini.

"Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah juga dikenakan PKPD bermula 26 Mei hingga 8 Jun susulan terdapat peningkatan ketara kes Covid-19 dalam tempoh seminggu," katanya.

Katanya, PKPD Felda Kahang Timur, Kluang, Johor yang tamat esok akan dilanjutkan sehingga 8 Jun.

"Sementara itu PKPD ditamatkan di Felda Umas, Kalabakan, Sabah dan Kampung Bako Hilir, Kuching, Sarawak, esok mengikut jadual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 8:08 PM