Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Semua daerah di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala kawasan di Felda Umas, Tawau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas hari ini mendengar pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kes-kes positif di Sabah.

Beliau berkata, susulan itu, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di seluruh Sabah berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober 2020.

"Sidang khas hari ini mendengar pengesahan KKM berhubung peningkatan kes-kes positif di Sabah, sebelum ini beberapa daerah di Sabah telahpun dilaksanakan PKPB iaitu di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan serta beberapa lokaliti lagi dikenakan PKPD.

"Selain itu, Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah juga sudah dikuatkuasakan sejak 3 Oktober lalu. Prosedur operasi standard (SOP) ketika PKPB ini boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya pada sidang media, disini, hari ini.

Mengulas berhubung PKPD di Felda Umas, Tawau, Ismail Sabri berkata, PKPD di Felda Umas yang akan berkuatkuasa 12.01 tengah malam ini hingga 26 Oktober berikutan peningkatan kes di kawasan berkenaan.

"PKPD ini akan melibatkan 800 rumah dengan 17,549 penduduk di kawasan berkenaan.

Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Antara SOP berkenaan adalah semua penduduk di kawasan itu tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing dan emua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup. Namun bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada polis,"katanya.

Menurutnya, KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terbabit.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

"Bagi memastikan pematuhan perintah ini, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 5:07 PM