MAHADI Che Ngah. FOTO arkib NSTP
MAHADI Che Ngah. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Bekas Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mahadi Che Ngah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-13, menggantikan Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang bersara wajib, semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, lantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-13 untuk dua tahun yang berkuatkuasa hari ini, dipersetujui oleh Perdana Menteri dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Annuar yang menyatakan penghargaannya berkata, Nor Hisham dalam jawatannya banyak menjalankan pelbagai kemajuan di Kuala Lumpur selain seorang pegawai yang berdisiplin dan berdedikasi.

Katanya, pelantikan Mahadi itu dibuat mengikut Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

"Mahadi berkelulusan ijazah pertama dalam bidang Perancang Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi Malaysia, seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam Pembangunan Bandar di University of Strathclyde, Glasgow.

"Beliau memulakan kerjaya di DBKL sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada April 1983 dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Eksekutif (Perancangan) sebelum bersara wajib pada September 2019.

"Tempoh perkhidmatan beliau selama 36 tahun di DBKL memberi kelebihan dalam aspek pengetahuan, kemahiran selain pengalaman yang mendalam berkaitan pengurusan bandar raya serta dasar-dasar perancangan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya pada sidang media, hari ini.

Annuar berkata, majlis penyampaian watikah dan kalung untuk Datuk Bandar Kuala Lumpur akan diadakan 10.30 pagi esok di DBKL.

"Saya percaya pengalaman luas dan daya kepemimpinan Datuk Mahadi Che Ngah, beliau berjaya menerajui bandar raya Kuala Lumpur dengan cemerlang selari dengan motto 'Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai wilayah prihatin' dan terus mengekalkan Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara yang sentiasa diurus dengan baik dan sempurna," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Sosio Ekonomi di Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dilantik Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu menggantikan Datuk Dr Aminuddin Hassim.

"Perkhidmatan Presiden Perbadanan Putrajaya tamat semalam dan pelantikan Presiden baharu perlu ini melalui saluran tertentu. Datuk Dr Aminuddin sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai Presiden Perbadanan dengan baik sekali. Bagi pihak kementerian, kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Dr Aminuddin.

"Beliau akan ditempatkan dengan satu tugas baharu di agensi lain. Sementara itu, dengan persetujuan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Muhammad Azmi dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang baharu selama dua tahun mulai hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 2:29 PM