Samadi Ahmad

Putrajaya: Semua pihak perlu memberi ruang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan melantik Timbalan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah hak istimewa Perdana Menteri dan tidak perlu ada tekanan daripada pihak luar.

Menurut beliau, tidak menjadi kesalahan sekiranya ada mana-mana pihak yang memberi pandangan atau syor mengenai pelantikan jawatan itu, namun tidak perlu sampai mewujudkan suasana seolah-olah mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri.

Katanya, jawatan TPM adalah prerogatif dan menjadi hak mutlak sesiapa sahaja yang diangkat sebagai Perdana Menteri.

"Kita perlu beri ruang kepada PM tanpa perlu ada sebarang tekanan, takkan nak jawatan itu kita sampai menekan, mengugut dan melakukan bermacam-macam cara," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada komuniti Putrajaya di Dewan Seri Melati di sini, tadi.

ANNUAR. FOTO Luqman Hakim Zubir
ANNUAR. FOTO Luqman Hakim Zubir

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Sumbangan itu disampaikan kepada wakil enam sub zon bawahnya serta 36 persatuan penduduk Putrajaya.

Setiap zon dan sub zon menerima sumbangan sebanyak RM2,000 susulandari inisiatif tambahan Wilayah Cakna 3.0 Kementerian Wilayah Persekutuan.

Annuar sebelum itu ditanya mengenai pemilihan calon-calon TPM yang dilaporkan media sebelum ini.

Selain namanya, tiga nama pemimpin UMNO lain turut tersenarai adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Annuar berkata, semua pihak perlu faham bahawa Timbalan Perdana Menteri adalah jawatan paling kanan kepada Perdana Menteri.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berpandangan tidak mungkin Perdana Menteri akan meletakkan individu atau calon yang tidak boleh bekerjasama dengannya.

"Saya berharap semua pihak bertenang dan kurangkan berpolitik.

"Kita sudah ada empat Menteri Kanan, sekiranya Perdana Menteri ubah fikiran dan kata perlu wujudkan Timbalan Perdana Menteri, kita akan terima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 5:32 PM