ANNUAR menerima Jalur Gemilang daripada Dr Aminuddin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANNUAR menerima Jalur Gemilang daripada Dr Aminuddin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


PERANCANGAN dan idea baharu untuk 25 tahun akan datang penting dalam mengekalkan Putrajaya sebagai satu bandar yang dinamik.

Justeru, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan kini merangka beberapa rancangan termasuk menghidupkan Putrajaya selepas waktu pejabat dengan pelbagai aktiviti.

Beliau berkata, pihaknya berharap beberapa tarikan di Putrajaya seperti perkampungan Quran dan Muzium Realiti Maya selain beberapa lagi aktiviti yang dirancang, dapat menarik kunjungan orang ramai terutama pelancong ke pusat pentadbiran negara ini.

"Kita menggalakkan kalau ada penyertaan pelabur dan pihak swasta yang membawa acara atau mengadakan pembangunan tertentu yang boleh menyokong sektor pelancongan di sini.

"Putrajaya mempunyai segala kemudahan asas dan kita ingin menjadikan Putrajaya sebagai satu bandar yang hidup dan kita mengekalkan Putrajaya sebagai sebuah bandar ikonik, bersih, hijau serta bandar raya pintar.

"Kita juga merancang untuk membaiki sistem pengangkutan awam di Putrajaya untuk melihat kepada pelaksanaan pengangkutan awam yang lebih baik di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perarakan Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Jubli Perak Perbadanan Putrajaya di Dataran Putrajaya, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr R Santhara Kumar; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Annuar berkata, kerajaan berbangga dengan pencapaian Perbadanan Putrajaya selama 25 tahun ini terutama dalam pengurusan Putrajaya.

Beliau berkata, Kertas Jemaah Menteri juga sudah disiapkan, yang menyertakan syor bagi membolehkan cadangan kerjasama dengan pihak swasta dalam memperbanyakkan perumahan awam, juga terbuka kepada orang awam yang mahu mencari perumahan awam dalam satu persekitaran baharu.

Katanya, ia sebagai usaha untuk meningkatkan jumlah populasi di Putrajaya daripada 100,000 ketika ini ke 300,000 pada masa depan.

Selain itu, Annuar berkata, jemaah menteri juga sudah meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memberi perhatian khusus dalam mempromosikan dan membangunkan aspek pelancongan di Putrajaya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sangat berbangga bukan saja ulang tahun ke-25 pembukaan Putrajaya disambut dua hari sebelum sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, malah ia juga menjadi tuan rumah kepada sambutan bagi tahun ini.

Perarakan Pasukan Berkuda yang diketuai oleh Aminuddin, disertai Unit Berkuda Perbadanan Putrajaya, Unit Berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Briged Ekuin Angkatan Pertahanan Awam (APM) membabitkan sebanyak 88 kuda.

Ia bermula dari Dataran Putra melalui Persiaran Perdana dengan diikuti dengan lintas hormat kontinjen serta penyerahan Jalur Gemilang dan bendera Jubli Perak Putrajaya kepada Menteri Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 1:47 PM