GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Nasib golongan gelandangan di ibu kota tidak diabaikan apabila seramai 133 gelandangan dijadualkan menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Komuniti Setiawangsa, Kuala Lumpur Selasa hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata program itu diadakan menerusi inisiatif Program Vaksinasi Fasa 2 Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah dan peserta yang akan menerima suntikan berkenaan sudah selesai menjalani ujian saringan Covid-19.

Katanya, kumpulan ini diberikan vaksinasi awal memandangkan mereka sering terdedah kepada jangkitan Covid-19.

"Sekiranya dibiarkan berkeliaran tanpa perlindungan, risiko penyebaran pandemik ini adalah tinggi.

"Program ini diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur serta dikawal selia oleh polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), penguatkuasa DBKL dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertujuan memastikan mereka patuh Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya tadi.

Annuar berkata, sebagai langkah membantu kerajaan memastikan setiap gelandangan di ibu negara menerima vaksin, Program Vaksinasi dos kedua turut diberikan kepada gelandangan melalui program Trak Vaksin Bergerak.

Katanya, inisiatif itu antara usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di Wilayah Persekutuan secara keseluruhan.

"Seramai 119 orang gelandangan di Anjung Kelana akan melengkapkan suntikan vaksin dos kedua esok selepas menerima dos suntikan pertama pada 27 Mei lalu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 252 gelandangan sudah dan akan menerima vaksin.

"Kementerian juga akan memperluaskan penggunaan Trak Vaksin Bergerak ke tempat-tempat yang sukar diakses di kawasan Kuala Lumpur bagi memudahkan penduduk di lokaliti itu menerima vaksin bertujuan menurunkan kadar risiko kebolehjangkitan wabak Covid-19 secara berperingkat-peringkat," katanya.

Annuar turut menjelaskan, inisiatif itu bertujuan membantu kerajaan mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok populasi Wilayah Persekutuan divaksin menjelang Ogos 2021.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 4:33 PM