Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kontrak lantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim tamat berkuat kuasa hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan baharu atau pembaharuan kontrak akan dilakukan segera melalui prosedur ditetapkan.

"Datuk Bandar Kuala Lumpur Dan Presiden Perbadanan Putrajaya, masing masing tamat tempoh lantikan mereka (kontrak) hari ini.

"Mereka telah berkhidmat dengan cemerlang. Pelantikan baharu atau pembaharuan kontrak (jika ada) perlu melalui prosedur tertentu. Ia akan di segerakan, Insya-Allah," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Sebelum ini, Annuar menuntut penjelasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung isu pertukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin.

Pertukaran nama itu berkuat kuasa Sabtu lalu dan dirasmikan Nor Hisham serta Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Annuar menganggap nama Jalan Raja Laut membawa makna besar dalam sejarah Melayu dan Kuala Lumpur itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 6:03 PM