ANNUAR (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar. FOTO Samadi Ahmad
ANNUAR (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya:Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan melaksanakan 10,000 pembinaan rumah mampu milik Residensi Prihatin bermula Jun tahun depan.

Menterinya,Tan Sri Annuar Musa berkata, projek itu bertujuan membolehkan belia daripada golongan isi rumah B40 membeli kediaman pada usia muda.

Katanya, Residensi Prihatin itu akan dibina sebanyak 6,000 unit di Kuala Lumpur , 3,000 di Putrajaya dan 1,000 di Labuan.

"Pembinaan rumah ini akan menggunakan konsep modular dan pembinaan pintar berteraskan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) supaya proses pembinaannya lebh cepat dan berkualiti tinggi," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Baucer Jom Balik Sekolah Kepada Pelajar Sekolahdan Barangan Sudut Infaq Surau Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Azmi Mohd Zain dan Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi.

Pada majlis itu, KWP dan PPj turutmenyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan harian berjumlah RM20,000 kepada 10 buah surau di Putrajaya.

Sumbangan berjumlah RM100,000 itu dianjurkan KWP kepada 1,000 pelajar di bawah inisiatif Wilayah Cakna 3.0 Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin.

Annuar berkata, kediaman ditawarkan kepada belia terbabit berharga RM200,000 ke bawah dengan pembiayaan ansuran kurang RM1,000 sebulan.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti beberapa tapak pembinaan projek berkenaan di Putrajaya yang juga projek terbatal projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) yang boleh disambung dan diteruskan.

"Golongan belia disaran untuk membuat permohonan secara dalam talian melalui portal KWP bagi projek rumah mampu milik Residensi Prihatin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 5:28 PM