TAN Sri Annuar Musa. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
TAN Sri Annuar Musa. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menuntut penjelasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menukar nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin.

Pertukaran nama itu berkuat kuasa kelmarin dan dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Annuar berkata, nama Jalan Raja Laut membawa makna besar dalam sejarah Melayu dan Kuala Lumpur itu sendiri.

"Saya tiada halangan nak makan (nak namakan) jalan di KL (Kuala Lumpur) Jalan Palestin, sebagai tanda sokongan KL kepada perjuangan pembebasan AL-QUDS.

"Namun saya mahukan penjelasan kenapa pilih tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar Sejarah Melayu Dan KL," katanya dalam ciapan di laman Twitter, hari ini.

Annuar turut mempersoalkan mengapa DBKL tidak memilih nama jalan Inggeris yang lain seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Cochrane dan banyak lagi.

Bagaimanapun, DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan penukaran nama jalan itu dibuat selepas mengambil kira sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.

Nor Hisham dilaporkan berkata, cadangan untuk menukar nama jalan itu tercetus ketika Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.

"Kementerian Wilayah Persekutuan memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

"Menamakan Jalan Palestin itu sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin," katanya dipetik.

Berita berkaitan

Jalan Raja Laut 1 kini dikenali Jalan Palestin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 9:22 AM