Datuk Saiful Azly. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Datuk Saiful Azly. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tangkapan membabitkan kes penyalahgunaan dadah di ibu negara meningkat dengan mendadak sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamarudin berkata, seramai 219 individu ditangkap dari Januari hingga September, berbanding 82 tangkapan, sepanjang tahun lalu.

Katanya, tangkapan berkenaan membabitkan pelbagai peruntukkan Akta Dadah Berbahaya (ADB) termasuk Seksyen 39, Seksyen 12 dan Seksyen 15.

"Kebanyakan yang ditangkap berusia lingkungan 40 tahun ke bawah termasuk pengedar dan penagih dadah.

"Tiga jenis dadah popular dalam urus niaga adalah heroin, syabu dan ganja," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program We Love, We Serve, We Hope yang dilancarkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar di Pusat Komuniti Gombak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Saiful Azly berkata, tangkapan itu hasil kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang menggerakkan operasi dengan lebih agresif dan efektif.

Katanya, ia mendorong kepada jumlah tangkapan lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, program itu adalah inisiatif bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), AADK, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial di tiga Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu, PPR Gombak Setia, PPR Kampung Baru Ayer Panas dan PPR Sungai Bonus.

Saiful Azly berkata, PPR itu selepas dikenal pasti berdepan masalah pelencongan sosial dan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, berdasarkan statistik terkini, ketiga-tiga PPR itu mempunyai 20,416 penduduk dan daripada jumlah itu seramai 995 individu atau 4.87 peratus didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Santhara berkata, pihaknya difahamkan jumlah kes penyalahgunaan dadah meningkat 60 peratus hingga 70 peratus dalam kalangan belia terutama di ibu negara.

"Masalah penyalahgunaan dadah perlu menjadi agenda utama untuk semua pihak kerana ia boleh memberi kesan kepada keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

"Sekiranya isu ini tidak diuruskan dengan baik, pelencongan sosial akan menjadi semakin serius dalam masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 5:50 PM