Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menahan 10 individu tempatan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan mengumpulkan kad mesin juruwang automatik (ATM) untuk dijual kepada sindiket penipuan Macau Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket beroperasi sejak Februari lalu di sekitar daerah ini, diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Frankie atau Allan dengan mensasarkan pemilik akaun dalam kalangan penagih dadah.

Beliau berkata, kad ATM itu akan dibeli dengan harga RM400 bagi setiap kad sebelum kad dikumpulkan itu akan diserahkan bersama nombor pin serta kad SIM (bertujuan pengaktifan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC)) kepada ketua kumpulan itu (Allan/Frankie).

"Pada 12.30 tengah hari Rabu lalu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara bersama anggota Cegah Jenayah Balai Taman Perling menahan sebuah kereta dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita.

"Pemeriksaan lanjut menemui kad ATM, kad SIM serta beberapa dokumen iaitu buku tulis mengandungi butiran pemilik akaun bank mencurigakan.

"Susulan penahanan itu, polis menyerbu dua rumah di sekitar Tampoi dan menahan empat lelaki dan dua wanita termasuk ketua kumpulan pengumpul kad ATM di kawasan sekitar Larkin dan Jalan Wong Ah Fook, dekat sini," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid.

Beliau berkata, ketua sindiket, Muhammad Raif Lee Abdullah, 38, atau lebih dikenali Frankie atau Allan dengan alamat terakhir 03-07 Blok 3, Jalan Mewah Ria 2/2, Taman Bukit Mewah, Johor Bahru kini sedang dikesan dan mungkin masih berada di Johor atau dalam negara.

Menurutnya, polis percaya banyak lagi kumpulan terbabit dengan kegiatan berkenaan dan sudah mengenal pasti 91 kes yang membabitkan sindiket itu di seluruh Malaysia dengan kerugian RM3.7 juta.

AYOB Ayob (dua dari kiri) bersama Rupeah (dua dari kanan) menunjukkan gambar suspek yang diburu (gambar kecil) dan barang kes dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO ZAIN AHMED
AYOB Ayob (dua dari kiri) bersama Rupeah (dua dari kanan) menunjukkan gambar suspek yang diburu (gambar kecil) dan barang kes dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO ZAIN AHMED

"Semakan rekod jenayah mendapati semua suspek berusia 19 hingga 41 tahun itu mempunyai rekod berkaitan penyalahgunaan dadah serta kes penipuan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta salurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Johor, Asisten Superintendan Timmy Anak Aheng di talian 019-777 3728," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 2:01 PM