Antara individu yang ditahan ketika Operasi Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) Tahun 2021 di Surau Flat Sri Perantau Pelabuhan Klang hari ini. FOTO BERNAMA
Antara individu yang ditahan ketika Operasi Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) Tahun 2021 di Surau Flat Sri Perantau Pelabuhan Klang hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Perasaan ingin mencuba seorang remaja membawa padah apabila dia terjerumus dalam gejala penagihan dadah hampir setahun lalu.

Remaja berusia 16 itu antara 27 individu yang ditahan menerusi Operasi Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Flat Sri Perantau di sini, hari ini.

Remaja berkenaan memaklumkan pada awalnya, dia sekadar ingin mencuba dadah syabu dan tidak menyangka akan terus terjerumus sehingga ke hari ini.

"Saya memang nak berhenti ambil dadah tetapi tidak boleh kerana terlalu ketagih dan pernah dipukul ayah kerana dia mendapat tahu saya mengambil dadah. Saya juga berjanji akan berhenti menagih.

"Saya pernah cuba untuk tidak mengambil syabu bagaimanapun kesannya sangat teruk dan membuatkan rasa gelisah sepanjang hari," katanya yang sudah tidak bersekolah sejak berusia 14 tahun.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Klang Mohd Shahrizal Mohd Salleh berkata, SMARD adalah inisiatif bersepadu menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial menggunakan peruntukan kerajaan negeri Selangor menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Selangor 2021.

"Pelaksanaan inisiatif ini adalah strategi lima tahun (2021-2025) membabitkan 13 kawasan berisiko tinggi di Selangor termasuk Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang.

"Objektif operasi adalah membanteras dan mengambil tindakan terhadap aktiviti penagihan dan pengedaran dadah disamping membersihkan kawasan yang menjadi sarang penagihan dadah," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah AADK Negeri Selangor Mohd Firdaus Abu Bakar berkata sebanyak dua siri operasi SMARD sudah dijalankan di flat serta kawasan sekitar.

"Sebanyak 10 operasi aduan sudah dilaksanakan di kawasan ini oleh AADK sepanjang tahun ini yang mana 87 individu berusia antara 16 hingga 51 tahun ditahan positif dadah antaranya jenis methamphetamine, opiat serta ganja.

"Mereka ditahan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 3:46 PM