Zulkifli beramah mesra dengan ketua dan pegawai agensi kerajaan di kawasan Projek Rintis Dungun. FOTO Norizuan Shamsuddin
Zulkifli beramah mesra dengan ketua dan pegawai agensi kerajaan di kawasan Projek Rintis Dungun. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


PROJEK Rintis Menangani Masalah Dadah Substan dan Pelencongan Sosial dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membabitkan 12 kawasan di seluruh negara menunjukkan kesan positif.

Ia berjaya mengurangkan kes jenayah dan meningkatkan kesedaran kepada penagih untuk menjalani rawatan dalam masa tiga bulan pertama bermula Julai lalu.

12 kawasan itu ialah Langkawi, FELDA Lubuk Merbau dan Kuala Kedah di Kedah; Flat Sri Mentari Petaling, Sungai Besar Sabak Bernam dan FELDA Gugusan Hulu Selangor di Selangor; Johor Bahru (Taman Perling, Tampoi, Skudai) dan Parit Sulong Batu Pahat di Johor.

Turut tersenarai ialah Pengkalan Chepa di Kelantan; Kuala Dungun (Terengganu); PPR Sungai Bonus (Kuala Lumpur); dan FELDA Keratong 3, Pahang.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, 12 kawasan projek rintis itu menunjukkan pengurangan kes jenayah kecurian yang didapati menurun hampir 13.9 peratus dalam tempoh berkenaan.

“Selain itu, kes pelajar ponteng sekolah juga berkurangan kepada 42.4 peratus serta berjaya membersihkan 66.3 peratus port penagihan dan aduan berkaitan dadah juga menurun 19.5 peratus.

“Kita dapati kesedaran mereka yang terbabit dengan penagihan dadah untuk datang mendapatkan rawatan secara sukarela juga meningkat 36 peratus dengan 65 peratus penagih di kawasan projek rintis ini sudah diambil tindakan,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke Kawasan Projek Rintis Dungun di Dungun malam tadi.

Mengulas mengenai kawasan projek rintis Dungun, Zulkifli berkata, 65 peratus penagih sudah diambil tindakan di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 14 badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama di kawasan Projek Rintis Dungun ini bagi program pencegahan dan rawatan kepada penagih.

“Kita berharap Projek Rintis Dungun ini boleh dijadikan model dan diperluaskan ke kawasan lain selepas ini.

“Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kita berharap dapat menangani masalah dadah dengan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 3:42 PM