Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Menjual produk makanan dan minuman 100 peratus dari Myanmar tanpa mempunyai label yang sah.

Ia antara kesalahan yang dikesan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Operasi dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa JKNPP bersama polis dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas menerima maklumat dan hasil risikan pada 11 pagi.

Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 13 premis perniagaan membabitkan sembilan kedai runcit dan empat kedai makan diuruskan warga Myanmar didapati melanggar akta kesihatan yang ditetapkan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, pemeriksaan ke atas kedai runcit terbabit mendapati hampir kesemua produk makanan dan minuman yang dijual dibawa masuk dari Myanmar.

"Perkara ini meragukan. Bagaimana produk yang tidak mempunyai label kerana tiada alamat pengedar dan pengimport selain menggunakan bahasa asing selain bahasa Melayu dan Inggeris boleh dibawa masuk ke negara ini.

"Label yang sah amat penting sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terhadap pengguna sama ada keracunan makanan kerana boleh mengetahui kandungan bahan yang terdapat dalam produk itu.

"Penggunaan bahasa pada label produk yang dibawa masuk dari luar negara hanya boleh dalam bahasa Malaysia dan Inggeris sahaja," katanya ketika ditemui pada operasi itu, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara produk minuman dan makanan itu terdiri asam katak, rempah ratus serta air buah-buahan dan minuman bertenaga selain arak murah.

 Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid menunjukkan produk minuman dan makanan yang 100 peratus dibawa masuk dari Myanmar tanpa mempunyai label sah hingga ia boleh membahayakan kesihatan pengguna. FOTO Nur Izzati Mohamad
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid menunjukkan produk minuman dan makanan yang 100 peratus dibawa masuk dari Myanmar tanpa mempunyai label sah hingga ia boleh membahayakan kesihatan pengguna. FOTO Nur Izzati Mohamad

Katanya, pihaknya mengeluarkan sebanyak 21 notis membabitkan kompaun keselruhan berjumlah RM57,000 terhadap kesemua premis yang diperiksa itu.

"Empat kedai makan itu ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tahap kebersihan kurang memuaskan selain susunan tempat letak bahan makanan mengundang kepada kehadiran lipas.

"Selain itu, polis turut menahan sembilan individu kerana melanggar kesalahan imigresen untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 4:02 PM