Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Bukan satu tetapi dua kilang memproses makanan yang 'berjiran' didapati beroperasi dalam keadaan menjijikkan, menggelikan serta meloyakan.

Ia terdedah hasil pemeriksaan dijalankan terhadap sebuah daripada kilang terbabit pagi tadi oleh anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Turut serta ialah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Tinjauan mendapati, proses mengendalikan makanan cukup meloyakan apabila pekerja tidak memakai sarung tangan serta meletakkan banyak peralatan seperti bekas pembakar di atas lantai.

Mesin yang digunakan juga tidak diselenggara dengan baik apabila terdapat habuk dan sawang yang mana ia boleh mencemarkan produk makanan dihasilkan.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, terdahulu, pihaknya dimaklumkan, kilang berasaskan bijirin yang sepatutnya ditutup dua minggu dibuka semula selepas membuat rayuan.

"Namun, risikan dijalankan beberapa hari lalu mendapati, pemiliknya masih mengabaikan tahap kebersihan yang dikehendaki.

"Oleh itu, kita kembali untuk pemeriksaan. Kita dapati, masih terdapat isu kebersihan yang tidak diatasi melalui penemuan kulat dalam mesin penggaul produk makanan bijiran berkenaan," katanya pada sidang media selepas tamat pemeriksaan.

Menurut beliau, pada masa sama, pemilik juga didapati tidak menyatakan alamat pengeluar pada label produk makanan yang dikeluarkannya.

Dibimbangi, sekiranya berlaku kes keracunan makanan, sukar untuk pihak berkuasa mengesan dan melakukan siasatan.

"Justeru, notis amaran dikeluarkan kepada pemilik untuk membersihkan semula premisnya seperti yang dikehendaki.

"Ketika kita sedang melakukan pemeriksaan di kilang bijirin itu, kita dapati, kilang makanan yang terletak bersebelahan turut beroperasi dalam keadaan kotor," katanya.

Mohd Wazir berkata, pemeriksaan di kilang makanan berasaskan kuih kacang itu mendapati, selain pengabaian tahap kebersihan, pemilik juga menggunakan alamat berlainan daripada lokasi produknya dikeluarkan.

MOHD Wazir Khalid (kanan) melakukan pemeriksaan ketika operasi bersepadu bersama KPDNHEP Pulau Pinang dan MBSP di dua buah kilang makanan di Taman Industri Bukit Panchor di sini. FOTO Danial Saad
MOHD Wazir Khalid (kanan) melakukan pemeriksaan ketika operasi bersepadu bersama KPDNHEP Pulau Pinang dan MBSP di dua buah kilang makanan di Taman Industri Bukit Panchor di sini. FOTO Danial Saad

"Kita dapati, pemilik dipercayai cuba menipu. Alamat yang digunakan pada label produknya berbeza, kesalahan ini nampak kecil tetapi sangat serius terutamanya jika berlaku keracunan makanan.

"Kita membuka kertas siasatan berhubung kesalahan ini selain mengeluarkan kompaun RM3,500 kerana pemilik menggajikan pekerja tanpa mendapatkan suntikan antitifoid di bawah Peraturan 11(2), peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya.

Menurut Mohd Wazir, premis kedua itu gagal dikesan sebelum ini kerana lokasi di situ tidak menggambarkan suasana seperti sebuah kawasan perindustrian sepenuhnya walaupun terletak bersebelahan.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, kedua-dua kilang yang beroperasi antara 15 hingga 20 tahun itu turut mempunyai pensijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) dan Halal pada produk yang dikeluarkan.

"Pensijilan MeSTI diberikan kepada premis yang benar-benar menjaga tahap kebersihan namun malangnya, dalam pemeriksaan ini, ia tidak selari dengan sijil yang diperoleh.

"Oleh itu, kita memanjangkan isu ini kepada pihak berkaitan untuk mengambil perhatian supaya premis yang memperoleh sijil-sijil ini dapat memastikan produk makanan mereka bersih dan selamat dimakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 4:31 PM