AYOB KHAN (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sesi sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
AYOB KHAN (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sesi sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dikenali Rose Quartz hasil enam serbuan berasingan di sekitar daerah ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut memberkas enam lelaki tempatan berusia 39 hingga 57 tahun.

Katanya, hasil siasatan dan pemantauan polis selama dua bulan mendapati sindiket mendapat bekalan dadah dari utara Semenanjung Malaysia dan menyeludup ke negeri ini, Sarawak serta luar negara menggunakan jalan udara dan laut.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamine, manakala semakan rekod mendapati tiga daripada yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Sindiket yang dipercayai aktif sejak dua hingga tiga bulan lalu dan hasil serbuan polis merampas 39.33 kilogram syabu, 74.98 gram ketamin dan 20.92 gram serbuk ecstacy (70 biji) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.5 juta.

"Turut dirampas, mesin yang digunakan untuk pembungkusan dadah serta sepucuk pistol angin, selain turut menyita tujuh kenderaan anggaran nilai RM982,800, dua jam tangan berjenama bernilai RM2,000, wang tunai RM172,051 dan 13,000 baht (RM1,726.07) dengan jumlah keseluruhan sitaan adalah RM 1.1 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, semua suspek direman selama enam hari bermula 11 hingga 16 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

"Bermula 1 Januari hingga 10 September lalu, JSJN Johor berjaya menahan seramai 13,856 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh yang sama berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.146 tan.

"Keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM25.43 juta dan turut disita adalah harta bernilai RM11.33 juta.

"Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 6:03 PM